Selasa, 30 Mac 2010

Ubah polisi elak kuarters kosong

POLEMIK mengenai perumahan guru timbul semula apabila Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peruntukan besar untuk membaiki kerosakan bagi membolehkan rumah itu didiami warga sektor pendidikan. Walaupun itu satu langkah baik, ramai berpendapat akan berlaku sekali lagi pembaziran wang kerajaan andainya ia tidak disusuli dengan perubahan dasar menduduki rumah berkenaan.

Rasanya laporan yang diterima Muhyiddin sebahagiannya tidak tepat. Rumah itu ada yang mengalami kerosakan sebab tidak diduduki, bukan tidak diduduki kerana rosak. Ia adalah dua kenyataan berbeza dan kerajaan harus memandang secara positif dasar yang digariskan bagi setiap pendidik yang menduduki rumah itu

Rata-rata Kompleks Perumahan Guru tidak berpenghuni kecuali di kawasan kritikal iaitu di bandar besar yang sukar untuk mendapat rumah sewa. Daripada lima blok apartmen lima tingkat setiap blok, hanya didiami lima atau enam keluarga. Unit lain tidak dimanfaatkan dan tinggal kosong begitu saja. Malah ada keseluruhan kompleks tidak diduduki langsung. Unit inilah yang menjadi sasaran pencuri dan merosakkan pelbagai barang di situ, tambahan pula tidak ada pengawal menjaga keselamatannya.

Jadi unit rumah itu rosak kerana tidak diduduki orang bukan orang tidak menduduki kerana ia rosak. Kementerian harus mencari formula sesuai supaya rumah itu tidak dibiarkan kosong. Hal sama juga terjadi kepada perumahan polis dan perumahan tentera.

Satu punca perumahan itu tidak dapat menarik minat anggota kerajaan mendudukinya adalah kerana polisi jabatan masing-masing memotong semua elaun perumahan dan elaun sara hidup. Elaun itu akan ditolak terus sebagai ‘bayaran sewa’ mendiami unit rumah itu.

Ada pegawai kerajaan hilang pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 kerana menduduki rumah disediakan itu. Hal ini menyebabkan mereka lebih berminat menyewa rumah lain yang tentunya lebih murah sambil boleh menikmati dua elaun berkenaan.

Adalah lebih baik jika elaun itu dikekalkan dan pegawai yang menduduki rumah berkenaan hanya dikenakan sewa berpatutan.
Jika berbuat demikian rasanya rumah itu kelak akan berpenghuni. Jika polisi ini (memotong semua elaun perumahan dan elaun sara hidup), langkah membaiki unit rumah itu dengan peruntukan yang besar adalah membazir semata-mata.

ILHAM SYAKIMA,
Yan, Kedah

Berita Harian Online: 30 Mac 2010

Tiada ulasan: