Sabtu, 20 Mac 2010

Sisipan pendidikan berguna bagi guru

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/03/20

Kandungan bantu sedia bahan tambahan

MELAKA: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menggalakkan guru di negeri ini menggunakan sisipan akhbar pendidikan terbitan Berita Harian, seperti Didik, Minda, dan Skor sebagai alternatif kepada bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) sedia ada.

Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik JPN, Mujamal Baba, berkata penggunaan akhbar sisipan itu amat sesuai kerana ia memudahkan semua pihak mendapat bahan tambahan P&P.

Beliau berkata, sisipan Didik, Skor dan Minda perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana ia mampu membantu guru meningkatkan prestasi pelajar masing-masing. “Akhbar sudah ada, pendedahan (Akhbar Dalam Darjah) pun sudah diberikan, gunakanlah peluang dan segala kemudahan yang ada dalam tangan anda untuk memastikan pelajar mendapat keputusan cemerlang.

“Pendedahan diterima guru menerusi program anjuran Berita Harian ini amat bermanfaat termasuk memperkaya teknik pengajaran, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian guru.

“Konsep ADD diperkenalkan Berita Harian sejak 1985 juga secara tidak langsung membantu guru menyediakan bahan pengajaran menarik berdasarkan bahan mudah diperoleh, selain mampu merangsang minat pelajar,” katanya ketika merasmikan Bengkel ADD Guru Negeri Melaka 2010 anjuran JPN dan Berita Harian di Dewan Bistari Jabatan Pelajaran Sektor Agama, Bukit Baru dekat sini, semalam.

Bengkel siri kelapan ADD itu disertai 100 guru sekolah menengah seluruh negeri itu bertujuan memberi peluang kepada warga pendidik memahami dan kaedah penggunaan akhbar sisipan Didik, Skor dan Minda.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid, Penolong Pengarang Pendidikan, Mohamad Muda dan Pengurus The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Ketua Biro Berita Harian cawangan Melaka, Amirullah Andi Nur.

Berita Harian Online: 20 Mac 2010

Tiada ulasan: