Khamis, 22 Julai 2010

Anak trauma ke sekolah selepas dicium guru

2010/07/22

KANGAR: “Saya terkejut apabila dimaklumkan ibu yang anak bongsu saya dicium pada pipi kiri oleh guru lelaki terbabit, tambahan pula saya mengenali lelaki itu yang juga guru saya.

“Guru terbabit mengumpan pelajar lain untuk memanggil anak saya masuk ke kelas kemahiran hidup sebelum menciumnya di belakang pintu kelas ketika waktu rehat,” kata seorang anggota Bomba dan Penyelamat berusia 41 tahun yang mendakwa anaknya dicabul seorang guru lelaki berusia 50-an di sekolah berkenaan, kelmarin.


Susulan kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, murid perempuan berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Arau itu kini trauma untuk ke sekolah selepas diperlakukan guru terbabit.


Selain itu, guru yang dipercayai kemaruk seks terbabit turut mengugut murid tahun satu berkenaan supaya merahsiakan perbuatan itu.


Selepas dicium guru terbabit, mangsa enggan ke sekolah dan menceritakan kejadian itu kepada neneknya yang kemudian memaklumkan kepada bapa mangsa.


Bapa mangsa ketika ditemui di Pauh, dekat sini, berkata, dia mengenali guru terbabit kerana pernah mengajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang, lebih 20 tahun lalu.


Katanya, dia bimbang mungkin ada murid lain menjadi mangsa guru terbabit sebelum melaporkannya di Balai Polis Arau, dekat sini, pada malam hari kejadian.


Menurutnya, anaknya kini enggan ke sekolah kerana bimbang bertemu guru terbabit dan mahu ditukarkan ke sekolah lain sekitar Arau.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan bapa mangsa, kelmarin.


Katanya, kes itu dikategorikan sebagai mencabul kehormatan dan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.


“Setakat ini, kami belum menahan guru lelaki yang dikatakan mencium pelajarnya kerana masih mengumpul bukti dan polis sudah mengambil keterangan guru besar sekolah berkenaan,” katanya.

myMetro: 22 Julai 2010

1 ulasan:

HidrogeN berkata...

kecik2 dah trauma,kesian budak tu..mujur tak dirogol.