MARAN 30 Julai - Penglibatan guru siswazah dalam politik memberi peluang kepada golongan itu menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi membangunkan negara pada masa depan.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohamed Arsad berkata, golongan itu secara tidak langsung membantu kerajaan kerana mereka mudah didampingi oleh semua golongan.
Menurutnya, pembabitan guru siswazah dijangka mengubah senario politik negara apabila guru tiada halangan lagi untuk aktif dalam politik yang sangat penting menentukan hala tuju kemajuan negara.
''Kalangan guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan.
''Kebenaran guru berijazah aktif dalam politik merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini mengambil bahagian melontar idea bernas sesuatu dasar negara untuk kebaikan rakyat, agama dan negara,'' katanya di sini, kelmarin.
Menurutnya, sebelum ini ramai kalangan guru siswazah di sekolah menengah dan rendah berminat untuk aktif dalam politik tetapi terhalang oleh beberapa kekangan mengikut Peraturan 21(2).
Tambah beliau, peraturan itu menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
Mohamed Sabri berkata, KGMMB akan memastikan beberapa mekanisme dipatuhi supaya mana-mana guru yang aktif berpolitik tidak mengabaikan tugas hakiki mengajar di bilik darjah.
Katanya, mereka perlu mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2010
1 ulasan:
Saya ingin memberi komen terhadap kenyataan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohamed Arsad bahawa pembabitan guru siswazah dalam politik memberi sumbangan bangunkan negara. Pertanyaan saya, adakah selama ini guru siswazah tidak memberikan sumbangan dalam membangunkan negara??? Saya rasa dari dahulu sebelum, semasa dan selepas negara merdeka guru siswazah sudah terlibat secara langsung dalam pembangunan negara. Siapa yang telah melahirkan seorang peguam,doktor,jurutera, arkitek, pendidik universiti? ...GURU...LAH.
Hanya yang berubah hari ini ialah suara guru siswazah akan kedengaran di dalam kelompok parti-parti politik sama ada parti kerajaan atau parti pembangkang. Dahulu mereka disekat, ditidak hak mereka secara mutlak kerana pemimpin dahulu takut guru-guru ini mengatasi mereka dan hanya membenarkan guru-guru kumpulan sokongan pendek kata guru yang tiada ijazah hanya lulusan sijil maktab,pmr,spm, stpm dan diploma.Itulah kadang-kadang buah fikiran yang dilontarkan dicorong-corong pembesar suara agak mudah,isi pidato kurrang kerana kurang pembacaan dan terlalu emosi. Jadi dengan adanya pembabitan guru siswazah maka suara-suara didalam ceramah-ceramah parti politik akan berubah,bertambah dari segi isi pidato,kebernasan ucapan lebih jelas dari segi isi dan logiknya.
APA-APA PUN TUNGGU SAHAJA...LAH
Catat Ulasan