JIKA disebut cikgu dibenarkan berpolitik banyak pihak mula panas, daripada ibu bapa hingga ke penggiat parti politik. Apa tidaknya, jika selama ini guru dijadikan sasaran badan bukan kerajaan dan parti politik untuk membangkitkan segala isu antara guru-guru dan penjaga murid, kini mereka ada 'kubu' untuk berjuang.
Guru jangan dibiarkan terkapai-kapai sendirian akibat campur tangan orang luar. Akibat hendak mengajar orang menjadi orang mereka menjadi mangsa ditukar ke sana-sini oleh pihak terbabit.
Langkah membenarkan guru berpolitik bukan perkara baru tetapi diberi nafas baru. Sejarah guru dengan politik bukan perkara asing.
Pejuang-pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union terdiri dari golongan guru yang lulus dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.
Kalau disebut siapa pemimpin dari lulusan maktab ini, sesungguhnya majoriti adalah dari sini. Mereka berjuang dan menyinsing lengan mengangkat sepanduk zaman Malayan Union dan bermain dengan tinta meniup semangat kemerdekaan di kalangan rakyat dan cukuplah golongan ini dihalang dari menjadi seorang ahli parti politik yang hakiki.
Tepat benar pada masanya jika kerajaan ingin menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Inilah masa yang paling sesuai guru-guru memenuhi masa terluang berpolitik demi masa depan anak-anak bangsa yang seakan-akan sudah lupa dengan asas kenegaraan Malaysia.
Pihak-pihak yang menjolok Perlembagaan Malaysia ibarat sarang lebah yang menyimpan hak-hak istimewa orang Melayu perlu disedarkan bahawa kemakmuran negara bukan kerana agihan kekayaan negara berdasarkan sejarah semata-mata tetapi prinsip perkongsian itu sendiri.
Tiada pihak yang lebih sesuai selain dari guru untuk menerangkan mengapa kita menjadi negara yang masyarakatnya majmuk, mengapa negara ini aman sedangkan perbezaan setiap bangsa dan etnik begitu ketara dan mengapa anak-anak Melayu perlu memahami kepentingan mengundi dan apa itu sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Pada masa guru-guru bangsa lain berjuang atas nama persatuan bukan kerajaan, guru-guru Melayu masih berpolitik kepartian di ceruk-ceruk kedai kopi dan kantin.
Apa yang lebih menyedihkan bangsa Melayu yang dikatakan memahami sejarah dan menganggap diri mereka majoriti senyap, langsung tidak sedar sekelumit pun bahawa jika mereka memilih untuk memberi undi kepada pihak yang dikatakan lebih suci dari tawas, sebenarnya perbuatan mereka amat jijik kerana sanggup menggadaikan perjuangan datuk dan nenek mereka semenjak dijajah 446 tahun dahulu.
Guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan.
Pejuang seperti Allahyarham Tun Ghafar Baba (mantan Timbalan Perdana Menteri) bukan sahaja dihormati kawan, malah dihormati oleh lawan kerana karisma yang terserlah. Pemimpin agong begini yang ingin kita gali dalam diri guru-guru serata negara ini.
Di luar sana guru-guru menjadi kurang dihormati kerana baju kebal dari parti politik tidak melindungi mereka. Kes guru menghukum murid dan cikgu pula dibelasah ibu bapa berlaku di negara ini.
Guru ditekan untuk ditukar sekolah oleh parti politik yang menjadi juara isu tetapi sebenarnya hampas, sedang anak murid yang biadap tidak dihukum, bila dewasa nanti kelak akan bertukar status menjadi manusia yang menjadi sampah masyarakat.
Politik dan manusia bukan perkara ganjil. Jika tidak dibenarkan sekalipun, guru tetap akan berpolitik secara sembunyi-sembunyi. Di kelas ada sahaja pendapat yang mengkritik si polan dari parti si polan hingga anak murid pun ternganga akibat disampaikan dakyah politik yang kononnya bersumberkan hadis dan fakta ekonomi.
Guru sepatutnya mengajar murid bagaimana hendak belajar dan apabila tiba waktu berpolitik biarlah ia terhad kepada cerita politik yang positif dan tidak perlu rujukan yang kronik hingga ada majoriti senyap kalangan kakitangan awam mula mengganggu kempen dengan kenyataan mereka yang ada udang di sebalik batu.
Biarkan guru berpolitik kerana sudah sampai masanya orang politik yang jahil akan sejarah Negara dan Perlembagaan diajar oleh guru.
ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor
Utusan Malaysia Online: 30 Julai 2010
2 ulasan:
ada pro dan kontranya saudara. Mungkin boleh mengimbangi tetapi mungkin juga boleh merosakkan budaya sekolah yang selama ini menekankan kesatuan, satu visi dan satu misi. Jadi, kalau dalam satu sekolah tersebut pelbagai aliran politik maka bahaya kepada sistem pentadbiran sekolah dan kalau dipihak guru bercelaru maka pelajar jadi mangsa...keadaan
Zaman Allahyarham Tun Ghaffar Baba dengan zaman sekarang jauh bezanya.Perjuangan dahulu hanya satu iaitu menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Zaman sekarang politik penuh dengan onak dan duri silap hari bulan gulung tikar. Kawan makan kawan, musuh boleh jadi kawan dan kawan boleh jadi musuh. Inilah dunia politik tanah air hari ini kerana kerana saya lihat perjuangan bukan lagi tertumpu kepada satu arah. Dahulu siapa ketua dihormati oleh semua pengikut tetapi hari ini yang dibawah pun terlebih-lebih pintar dari Ketua sampai Ketua ternganga-nganga. Jadi bila guru boleh berpolitik takut Guru Besar atau Pengetua yang tidak suka berpolitik kena pijak dengan orang bawahan yang aktif politik. alahai...kenapalah dibenarkan guru berpolitik..Harap-harap tidak jadi seperti filem P. Ramlee " Keluarga 69"
Catat Ulasan