Jumaat, 2 Julai 2010

Isu kewajaran UPSR, PMR diumum tahun ini

KUALA LUMPUR 1 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau sebaliknya dalam tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mahu melengah-lengahkan dalam membuat keputusan dan pengumuman itu akan dibuat selepas selesai sesi rundingan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran.

"Kerajaan akan membuat keputusan dengan cepat dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom untuk mengadakan segera sesi meja bulat dengan pihak-pihak berkepentingan.

"Kementerian telah membuat kajian lama mengenai pemansuhan UPSR serta PMR dan perbincangan meja bulat ini bertujuan mendapatkan input lebih terperinci di samping memberi gambaran lebih jelas sebelum keputusan mengenainya diambil," jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha kementerian; Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Alimuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Muhyiddin memberitahu, maklum balas yang diterima sehingga ini khususnya menerusi media amat menggalakkan serta positif.

Menurutnya, segala input serta maklum balas itu akan diambil kira sewaktu sesi perbincangan meja bulat di kementerian nanti.

Mengenai Program Permata Negara yang akan diambil alih Kementerian Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, itu tugas baru yang diserahkan kepada kementerian.

"Program itu membabitkan pendidikan bagi kanak-kanak berusia satu bulan hingga empat tahun, ia memerlukan satu pendekatan berlainan dengan pendidikan prasekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Julai 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tentang cadangan pemansuhan UPSR dan PMR, saya rasa pendapat dan pendangan semua pihak terutama warga pendidik perlu dikumpul supaya keputusan nanti tidak dipertikaikan oleh warga pendidik sendiri. Janganlah minta pendapat dari YB-YB Parlimen sahaja, mereka tu bukannya arif dalam pendidikan hanya tahu sedikit-sedikit sahaja itu pun banyak yang tidak betul. Mintalah dari warga pendidik kerana mereka yang lebih tahu selok belok pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kita asyik minta pandangan daripada pensyarah-pensyarah universiti dan golongan-golongan tertentu tetapi saya rasa kajian yang mereka buat belum tentu boleh digunapakai di semua sekolah.
Jadi, saya mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran membuat soal selidik secara on line yang boleh dijawab oleh semua guru dalam masa yang singkat dengan itu maka Kementerian Pelajaran tidak lagi perlu menghantar orang-orang tertentu pergi ke semua sekolah di seluruh Malaysia untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.

Tanpa Nama berkata...

Saya pun setuju. Minta KPM adakan soal-selidik online. Semua guru perlu memberi pandangan. Data semua guru sudah ada dlm EMISonline. Ayuh...tunggu apa lagi. Beri masa 2 bln utk guru2 beri respons. Berikan tarikh tertentu mengikut negeri. Kalau semua online serentak... takut server KPM tak boleh tampung pula.

MEMANG pendapat guru perlu diberi keutamaan berbanding parti/org politik,pakar pendidikan(kononnya), pensyarah(yg dah lama tinggalkan sekolah) dan ibu bapa yang tak faham konsep UPSR.

YANG PASTI, guru-guru tuisyen pasti membantah cadangan ini. Mana lagi nak tambah income. Pusat tuisyen mungkin terpaksa ditutup.