Khamis, 1 Julai 2010

Kokurikulum diambil kira nilai pencapaian pelajar: Alimuddin

2010/07/01

BUKIT MERTAJAM: Aspek kokurikulum mungkin akan diambil kira dalam menilai pencapaian pelajar jika peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang membayangkan kemungkinan itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Mungkin kokurikulum juga satu daripadanya (menilai tahap pencapaian), tetapi saya tidak mahu terangkan dulu kerana perlu dibincangkan dengan Menteri Pelajaran (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) terlebih dulu sebelum sebarang ketetapan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kem Jambori ASEAN di sini, semalam.

Alimuddin diminta mengulas sama ada Kementerian Pelajaran akan memasukkan aspek kecemerlangan pelajar dalam bidang kokurikulum jika peperiksaan awam UPSR dan PMR dimansuhkan.

Ini berikutan kokurikulum adalah aspek paling penting dalam melahirkan modal insan berkualiti serta serba boleh yang selaras dengan cadangan memansuhkan UPSR dan PMR yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan peperiksaan awam UPSR dan PMR akan digantikan dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (SBA).
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kedua-dua peperiksaan itu diteruskan, tetapi bukan sebagai peperiksaan awam, sebaliknya dijadikan penilaian pada peringkat sekolah.

Mengenai penganjuran rundingan meja bulat seperti dicadangkan Muhyiddin, Alimuddin berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai pemansuhan UPSR dan PMR menerusi pelbagai saluran, termasuk media massa.

Katanya, rundingan meja bulat yang bakal diadakan itu adalah sama seperti rundingan meja bulat berkaitan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Kami akan menjemput pelbagai pihak, antaranya parti politik bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR," katanya.

Sementara itu, Alimuddin berkata, pihaknya sedang mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang kementerian mengenai keputusan Kerajaan Pulau Pinang yang mengisytiharkan cuti umum pada 7 Julai ini.

“Kami perlu mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang terlebih dulu kerana ia berkaitan dengan pewartaan. Kami akan umumkan perkara ini dalam masa satu atau dua hari lagi,” katanya.

Mulai tahun ini, 7 Julai diisytiharkan sebagai cuti umum di Pulau Pinang sempena pengiktirafan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Berita Harian Online: 1 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya amat tertarik dengan pengumuman tidak rasmi oleh Tan Sri Alimuddin, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu kemungkinan besar pencapaian kokurikulum diambil kira dalam menentukan pencapaian seseorang pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga sekiranya UPSR dan PMR dimansuhkan.
Apabila perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran sendiri, ini bermakna ucapan-upacan sebelum ini yang memperkatakan kokurikulum dimana-mana oleh orang-orang tertentu bukanlah cakap-cakap kosong, cakap-cakap penyedap atau cakap-cakap politik tetapi satu pengiktirafan bahawa kegiatan kokurikulum di sekolah oleh guru dan pelajar bahkan seluruh warga sekolah adalah amat penting dalam melahirkan insan yang bakal menerajui kepemimpinan negara dimasa depan.
Saya amat mengalu-alukan supaya kegiatan kokurikulum itu diberikan satu ruang yang lebih besar dalam menentukan masa depan seseorang pelajar.
Sebenarnya, selama ini saya amat sedih apabila sesetengah Pengetua dan Guru Besar menganggap kegiatan Kokurikulum itu hanya perkara kedua manakala aktiviti akademik itu adalah perkara pokok yang harus diutamakan dan didahulukan.Itu sebab dalam beberapa hal Pengetua dan Guru Besar merasa gusar kalau Penolong Kanan Kokurikulum di sesebuah sekolah mengadakan terlalu banyak kegiatan kokurikulum di sekolah. Bahkan ada antara mereka yang terang-terang tidak setuju dengan Penolong Kanan Kokurkulum dan mengarahkan sesuatu aktiviti itu ditangguhkan untuk memberikan laluan kepada aktiviti kurikulum khususnya menjelang peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM. Tetapi yang menghairankan ialah apabila pasukan sekolah itu menang dalam sesuatu pertandingan yang berdiri dahulu untuk mengambil hadiah atau piala ialah bos-bos di atas. Begitu juga apabila ada borang kenaikan pangkat Penolong Kanan Kokurilum juga yang di cari untuk mendapatkan senarai sekolah.
Pengumuman oleh Ketua Pengarah Pelajaran telah memberikan sinar harapan kepada kegiatan kokurikulum di sekolah supaya lebih diambil perhatian oleh pihak pentadbir dan tidak lagi memandang sebelah mata sahaja. Walaubagaimana pun saya masih menunggu apakah mekanisme yang digunapakai oleh Kementerian Pelajaran dalam menjadikan kegiatan kokurikulum itu satu cabang penilaian di sekolah.