Sabtu, 3 Julai 2010

Sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan sudah tidak sesuai

2010/07/03

ISU pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hangat diperkatakan dalam masyarakat dan media massa, baik media elektronik mahupun media cetak.

Cadangan dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, Muar, Johor pertengahan bulan lalu.

Sistem pembelajaran kini lebih berorientasikan peperiksaan yakni menghabiskan sukatan pelajaran dan menyalin semula dalam peperiksaan. Ini hanya melahirkan pelajar struktural yang kuat ingatan menghafal dan mengingat pelajaran berbanding memberi pendidikan holistik yang melahirkan pelajar inovatif dan kreatif.

Dengan mengambil contoh subjek Sejarah terdapat rakyat yang pijak bendera negara dan mengubah rentak lagu kebangsaan.

Malah dalam penggunaan Bahasa Melayu didapati ada yang tidak dapat membezakan penggunaan kata tugas dengan kata nama yang betul baik dalam tulisan bahkan amat ketara dalam medium lisan. Ini berdasarkan pengalaman menjadi pendidik
di sekolah rendah, menengah dan kini di universiti.

Dalam tempoh 11 tahun murid di sekolah ada tiga peperiksaan awam yang mesti diambil menyebabkan cara pembelajaran lebih terarah kepada mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Guru dan pelajar tertumpu kepada kaedah dan strategi belajar bagi banyak mendapat ‘A’, malah mereka dibebani dengan peperiksaan penilaian dalaman pada peringkat sekolah.
Sekali gus menafikan falsafah menuntut ilmu secara kritis dan kreatif, perkongsian pintar dan menimba ilmu secara menyeluruh gagal dicapai.
Peperiksaan SPM perlu dikekalkan sebagai peperiksaan awam di sekolah agar menjadi penanda aras memasuki alam pekerjaan dan ke peringkat pengajian tinggi.

Penilaian dalaman pada peringkat sekolah bagi menggantikan peperiksaan awam perlu dilakukan agar pelajar bersaing dalam pencapaian akademik, ko-akademik dan kokurikulum (kelab, persatuan dan pakaian seragam) serta sukan.

Justeru, kurikulum pendidikan perlu melahirkan rakyat yang berpengetahuan tinggi disertai semangat cinta akan negara agar mereka menghormati lagu kebangsaan, bahasa kebangsaan, rukun negara dan menghayati dasar negara.

DR ZULKEFLEE YAACOB,
Kota Bharu, Kelantan

Berita Harian Online: 3 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Macam mana pihak pentadbir sekolah tidak mengarahkan guru-guru menghabiskan sukatan pelajaran kalau pihak nazir sendiri membuat komen kepada guru yang mengajar tidak ikut sukatan. Kementerian Pelajaran pula melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan diturunkan ke bahagian peperiksaan asyik arahkan sekolah menghantar keputusan peperiksaan, bahkan tren terkini Jabatan Pelajaran Negeri pula memanggil guru-guru untuk menghadiri taklimat penggubalan soalan berpusat kemudian soalan tersebut dihantar ke semua sekolah untuk diperbanyakkan kemudian ujian diadakan pada tarikh yang sama. Mana-mana sekolah yang menunjukkan prestasi menurun kena tunjuk sebab. Tidak lama kemudaan keluarlah rangking sekolah dari terterbaik kepada yang paling lemah.
Baguslah kalau tiada peperiksaan guru tidak perlu susah-susah gubal soalan kemudian buat analisis. Tapi adakah ini akan berlaku. Saya rasa apabila sistem peperiksaan dimansuhan dan digantikan dengan PBS mungkin lebih banyak lagi kerja perkeranian yang terpaksa guru tanggung kerana setiap pelajar mesti ada laporan, analisis kemahiran dan macam-macam lagi setiap kali ada penilaian