Jumaat, 2 Julai 2010

Syor moral, agama Islam subjek wajib lulus SPM

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil dan Faridzwan Abdul Ghafar
bhnews@bharian.com.my
2010/07/02

Jalan terakhir untuk remaja dapat didikan akhlak: Mufti

KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan diamalkan dalam kehidupan seharian pelajar.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib.

“Kami melihat usaha mendidik remaja tidak akan berkesan selagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral untuk bukan Islam masih dijadikan kurikulum sampingan kerana mereka akan mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli untuk mempelajarinya.

“Jika ia dijadikan syarat wajib maka saya yakin keadaan sebaliknya akan berlaku. Mahu tidak mahu, suka tidak suka mereka akan mendalami, memahami mengenai ilmu itu dan secara tidak langsung ia akan meresap ke jiwa mereka.

“Bagi saya kerohanian amat penting sebagai pengisian kehidupan seseorang tetapi kurikulum pendidikan kita banyak menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan tidak menekankan isu moral. Apabila tiada kekuatan kerohanian, maka berlaku pelbagai perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, pelbagai pihak menggesa kerajaan memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur pornografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaysia, P Dharmalingam, berkata subjek Pendidikan Moral perlu dijadikan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam kerana dilihat mampu meningkatkan kekuatan dalaman seseorang pelajar sekali gus mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengemaskini dan melihat kembali mata pelajaran itu yang diajar di peringkat rendah dan menengah supaya ia lebih bersesuaian dengan kehendak dan suasana semasa.

“Saya tidak kata mata pelajaran itu tidak bagus kerana ia mungkin sesuai dengan suasana dan keadaan masa itu tetapi saya tidak fikir ia sesuai diguna pakai pada masa ini kerana masa itu gejala sosialnya tidak sehebat sekarang.

Jadi, saya sarankan kerajaan mengubah isi kandungan subjek berkenaan bagi memasukkan beberapa elemen penting supaya ia lebih mantap dan sesuai untuk diguna pakai,” katanya.

“Kekuatan dalaman, moral amat penting untuk kita membendung gejala tidak sihat. Semua agama tidak kira Islam, Buddha atau Hindu melarang penganutnya melakukan kemungkaran. Justeru penghayatan nilai murni disertai dengan pendidikan moral di peringkat awal adalah perlu,” katanya.

Berita Harian Online: 2 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya amat terpanggil untuk memberi komen kenyataan Mufti Perak, iaitu tentang mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.Sayaingin tahu juga darimana Mufti Perak ini dapat maklumat tentang kedua mata pelajaran ini. Memang pun kedua-dua mata pelajaran ini wajib diikuti oleh pelajar SPM. Sudah lama kedua-dua mata pelajaran ini diwajibkan diikuti oleh pelajar yang berkenaan. Jadi dari mana dia dapat maklumat bahawa selama ini kedua-dua mata pelajran ini tidak wajib. Saya mintalah kepada sesiapa diluar sana yang bukan terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan supaya merujuk perkara ini kepada pihak sekolah.
Saya juga ingin komen permintaan beliau supaya kedua-dua mata pelajaran ini dijadikan syarat lulus dalam peperiksaan SPM. Saya rasa kemanjadian seseorang insan itu tidak terletak kepada hanya lulus dalam peperiksaan semata-mata tetapi bagaimana ibubapa dan individu mengadaptasi diri dalam keadaan dunia hari ini.Saya rasa walau pun seseorang itu nanti mendapat A+ dalam Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral belum tentu menjadi manusia yang tidak bermasalah atau menjadi manusia dalam erti sebenar dan belum tentu seseorang pelajar yang hanya mendapat D atau E bagi mata pelajaran tersebut menjadi manusia yang rosak akhlak. Banyak faktor mengapa seseorang pelajar tidak boleh menjadi manusia yang sempurna.
Apa yang paling penting ialah sikap ibubapa, peranan mereka dalam mempastikan anak-anak berada dalam kawalan, mengetahui apa yang mereka buat setiap hari ,dengan siapa mereka bersama ketika di sekolah dan selepas dari sekolah dan yang paling penting bagaimana ibubapa membimbing anak-anak mereka mendekatkan diri dengan ajaran agama.
Jadi bukan soal lulus tidak lulus dalam mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral tetapi bagaimana semua pihak yang terlibat seperti guru dan ibubapa membawa pelajar menjadi manusia yang baik. Lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ada satu bonus tetapi yang penting kesedaran pelajar tentang maksud mereka dilahirkan didunia.