Sabtu, 3 Julai 2010

Wajib lulus 2 subjek SPM tak atasi masalah moral

Wajib lulus 2 subjek SPM tak atasi masalah moral
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

2010/07/03

Ibu bapa main peranan penting elak pelajar babit kes sosial

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyifatkan syor mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berkesan dalam membentuk sahsiah dan mengelak keruntuhan moral remaja.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu bukan jalan terakhir mengekang masalah moral kerana jika dilaksanakan ia hanya berorientasikan peperiksaan.

“Masalah moral remaja khususnya pelajar tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan melaksanakan perkara ini. Perkara pokok adalah peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak bagi mengelak terjerumus dalam masalah sosial.

“Jangan hanya melihat isu mata pelajaran tetapi perlu mengambil kira cara didikan ibu bapa di rumah selain mereka perlu memantau pergaulan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta kerajaan mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan SPM.

Harussani dilaporkan berkata, pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, syor mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan SPM adalah satu idea yang baik malah kerajaan sepatutnya melaksanakannya sejak dulu lagi.
Jais berkata, dasar itu lebih praktikal kerana ia boleh menjadikan sistem pendidikan yang lebih holistik melalui keseimbangan dunia dan agama untuk melahirkan pelajar matang, bijak dan bertanggungjawab.

“Kerajaan wajar memberi pertimbangan terhadap cadangan itu kerana agama dan moral adalah asas kepada kehidupan. Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sama pentingnya dengan subjek teras lain,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon berkata, kementerian hanya perlu memberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk memperkasakan sahsiah dan moral pelajar.

“Jika ia dilaksanakan pun belum tentu apa yang diharapkan berhasil. Dasar sedia ada sudah mencukupi, cuma perlu fokus kepada P&P dengan meletakkan guru yang mempunyai kredibiliti menjalankan tugas,” katanya.

Berita Harian Online: 3 Julai 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya sekali lagi terpanggil untuk memberikan komen terhadap cadangan supaya mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan syarat lulus dalam SPM. Saya sekali lagi mengatakan sekali pun seseorang pelajar mendapat gred A+ dalam mana-mana mata pelajaran tersebut belum tentu dapat melahirkan pelajar yang dapat menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan dalam mana-mana agama.
Perkara yang terbaik ialah bagaimana ibubapa dan masyarakat sekitar dapat bersatu dengan pihak sekolah dalam membentuk sikap pelajar yang terpuji. Masalah yang paling besar ialah ramai ibubapa yang menyerahkan bulat-bulat masalah anak mereka di sekolah

Tanpa Nama berkata...

Kepada sesiapa yang mencadangkan dua mata pelajaran ini diwajibkan lulus sebagai syarat lulus SPM, saya secara peribadi tidak setuju sama sekali kerana seseorang pelajar yang baik dari segi sahsiah, kuat dari segi agama tidak semestinya lulus kedua-du mata pelajaran tersebut tetapi yang sangat penting dan patut ditekankan ialah bagaimana ibubapa membentuk nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Kalau ibubapa asyik menghentam anak, asyik buat kerja sendiri dan tidak memperhatikan anak, joli sana joli sini, asyik cari bini ke dua,ketiga atau keempat atau ibu asyik berdandan komen sana komen sini, cari laki orang, berjudi,merokok depan anak, bergaduh depan anak, minum arak, asyik jaga tepi kain orang lain dan lain-lain jangan haraplah anak menjadi anak yang betul.
Saya masih ingat slogan Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri ke 3 iaitu " KEPIMPINAN MELALUI TELADAN".
Jadi renung-renunglah. Kalau kita asyik menunjukkn sikap tidak baik dihadapan anak tentulah anak juga akan menurut perbuatan orang tua.