|
|
KUALA TERENGGANU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor berjaya menganjurkan sambutan Hari Kokurikulum dan Temu Murni 2010 dengan tema "Kokurikulum Pemangkin Kecemerlangan Sahsiah Pelajar" di sini, baru-baru ini.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Shaharuddin Abdullah berkata, kegiatan kokurikulum merupakan komponen penting dalam proses pembinaan dan pembangunan pelajar.
Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada bidang pendidikan yang membantu memantapkan keupayaan dan prestasi pelajar.
"Program ini adalah salah satu usaha menggalakkan semua pelajar menjayakan aktiviti luar bilik darjah secara langsung atau tidak langsung selain memberi mereka pengalaman dan pengetahuan," katanya.
Majlis yang dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Datuk Senator Abdul Rahman Bakar ini padat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran luaran yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta, gerai jualan, permainan, pertandingan ko-akademik serta persembahan oleh para pelajar.
Manakala Program Temu Murni, kata Shaharuddin, diadakan supaya ibu bapa atau penjaga kepada pelajar yang hadir ke sekolah dapat menyemak rekod kemajuan akademik anak masing-masing di samping berpeluang bertanyakan hal-hal berkaitan disiplin mereka.Utusan Malaysia Online: 23 Ogos 2010
1 ulasan:
Hari kokurikulum bukan sahaja wajib diadakan setiap penghujung tahun tetapi patut ada peruntukan khas
Catat Ulasan