2010/08/24
SAYA tertarik aduan oleh Perlu Bantuan yang mohon penjelasan mengenai cuti bersalin anak keenam disiarkan dalam ruangan ini pada 19 Ogos lalu.Bagi saya masalah ini bukan membabitkan guru saja, tetapi kakitangan awam yang mempunyai lebih lima anak dengan cuti bersalin tidak bergaji untuk kelahiran anak keenam dan seterusnya.
Pihak bertanggungjawab patut sudah lama memperjuangkan perkara ini. Bagi kami yang kebanyakan pekerja bawahan dan mempunyai ramai anak terpaksa melalui detik sukar apabila menyambut kelahiran anak keenam dan seterusnya.
Allah akan memberi rezeki setiap anak yang dilahirkan cuma dalam masa sama keperitan yang dialami kami ialah tidak dibayar gaji untuk dua bulan cuti bersalin. Bayangkan bagaimana pekerja bawahan ini hendak menyara enam anak dengan tidak dibayar gaji.
Dengan harga barang yang semakin meningkat, perbelanjaan seharian amat memeritkan. Bayangkan harga susu bayi sekarang menjangkau RM60 untuk setin yang berat hanya 900 gram.
Sememangnya hati amat gembira dengan kehadiran bayi keenam tapi pada masa sama terdetik juga kebimbangan dengan ketiadaan gaji selama dua bulan.
Saranan saya dan kebanyakan kakitangan awam yang mempunyai ramai anak, tidak perlu diperjuangkan cuti bersalin sehingga 90 hari.
Apa guna cuti sehingga 90 hari sedangkan kepala berserabut memikirkan masalah kewangan.
Perkara yang perlu diperjuangkan ialah cuti bersalin bergaji penuh untuk kelahiran anak yang keenam dan seterusnya.
Harap perkara ini mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mengkaji cuti bersalin untuk anak keenam dan seterusnya. Perintah Am Bab C (26) yang sedia ada perlu dipinda, bukan setakat lima kali saja.
SUKA BERSALIN
Ipoh
2 ulasan:
kalau tanpa gaji baik jangan beranaklah...Beranak ramai gaji tak cukup kc makan mcam man??????
astaghfirullahalazim... beranak ke tak beranak ni kan rezeki Allah... nak bimbang gaji tak cukup ke cukup...???
Gaji tu pun rezeki Allah bagi...ada gaji tu sepatutnya alhamdulillah...
Catat Ulasan