Sabtu, 28 Ogos 2010

Kekalkan pengetua Aishah – Perkasa



Ibrahim Ali berbual dengan Siti Aishah Mansor (kiri) ketika berkunjung ke rumah pengetua tersebut di Kampung Melayu, Kulaijaya, semalam.


KULAIJAYA 27 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar Kementerian Pelajaran bertindak profesional berhubung isu perkauman yang dikatakan cuba ditimbulkan Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, 53, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihak kementerian diminta tidak bertindak berdasarkan kepentingan politik dan pada masa yang sama perlu terus mengekalkan kedudukan pengetua berkenaan di sekolah itu.

“Pengetua berkenaan pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Gred 52, malah beliau juga mempunyai darah Cina kerana ibunya berketurunan Cina. Jadi bagi saya tidak timbul isu perkauman di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya secara profesional dan tidak mengutamakan kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dan menyatakan sokongannya terhadap pengetua berkenaan di rumahnya yang terletak di Kampung Melayu, di sini hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Siti Aishah dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan pagi menyentuh sensitiviti kaum.

Dipercayai kenyataan yang dibuat sempena pelancaran Hari Kemerdekaan di sekolah itu telah diputarbelitkan oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan politik sehingga wujudnya isu perkauman berkenaan.

Ibrahim turut mempersoalkan sama ada kenyataan pelajar yang membuat laporan polis terhadap pengetua berkenaan boleh diambil kira tanpa mengetahui sejauh mana kebenaran laporan itu.

Beliau berkata, mungkin pelajar berkenaan tidak memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan pengetua mereka dan sekadar membuat laporan berdasarkan pemahaman mereka semata-mata.

“Sebagai pelajar adakah mereka cukup matang untuk menilai dan menterjemah ucapan pengetua sebagai mengandungi unsur-unsur perkauman.

“Daripada apa yang diberitahu, pelajar yang terawal membuat laporan polis berhubung isu tersebut merupakan antara pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Adakah kenyataan orang seperti ini boleh digunakan?” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan pengetua berkenaan adalah bertujuan memulihkan masalah disiplin di sekolah tanpa sebarang niat perkauman dan lebih menjurus kepada tindakan seorang ibu dalam mendidik anak-anak ketika di rumah.

“Apabila berlaku masalah disiplin dan gejala sosial pelajar, semua menyalahkan pihak sekolah, namun apabila pelajar-pelajar ditegur dan tindakan diambil, masyarakat turut menyalahkan pihak sekolah,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Ogos 2010

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya tidak menyokong mana-mana pihak walau pun saya seorang guru. Cuma kalau benar-benar pengetua tersebut ada mengeluarkan kata-kata berbentuk perkauman maka tindakan segera patut di ambil dan tindakan yang paling wajar ialah bertukar ke sekolah lain.
Banyak sebab kenapa perlu ditukarkan dan antaranya adalah seperti berikut;-
1. Imej pengetua dalam masyarakat
setempat telah tercalar.
2. Sebahagian guru di sekolah
tersebut mungkin sudah mulai
tidak hormat kepada pengetua
3. Murid akan mulai tidak hormat
kepada pengetua. Ada
kemungkinan masalah disiplin
akan lebih bertambah kerana
mungkin ada pelajar yang mulai
memberontak.
4. Ibubapa pelajar khususnya bagi
kaum yang terlibat mulai tidak
bekerja sama atau mungkin akan
mempersoalkan segala tindakan
pengetua.
5. Demi menjaga keselamatan
keluarga pengetua tersebut
6. akibat dari kejadian tersebut
anak-anak pengetua mungkin
mulai rasa segan dengan kawan-
kawannya.
7. demi mengembalikan semangat
mentadbir sekolah perlu ke
sekolah yang baru dengan imej
yang baru, sikap baru dan
perwatakan yang baru

Akhirnya, saya berharap tiada unsur-unsur politik dan perkauman mencampuri urusan pengetua tersebut. Mohon juga kepada badan-badan NGO janganlah campurtangan urusan Kementerian Pelajaran supaya NGO-NGO lain tidak mengambil langkah yang sama.

'INI URUSAN KEMENTERIAN PELAJARAN BUKAN URUSAN NGO-NGO'

Tanpa Nama berkata...

Berahim Ali tu usah sibuk sangatlah pasal KPM. Awak buat kerja awak sebagai MP Bebas. Banyak lagi masalah negara yang besar perlu ditangani. Balik laaa, negeri kau pun kau tak dapat nak betulkan, ni ank sibuk kat KPM pulak. Bila banyak politiking lah sekolah jadi kelam kabut dibuatnya.

guru utara berkata...

"Tanpa nama" harus melihat dari sudut positif tindakan Ibrahim Ali tu. Kita pun tahu kebelakangan ini semua tindakan guru menjadi perhatian dan tumpuan. Tak boleh silap sikit , ada saja habuan. Sekurang-kurangnya ada perhatian dari pihak tertentu. Jadi , nasihat saya janganlah mudah melompat dan prejudis sangat.

Tanpa Nama berkata...

Kadang-kadang kita perlu juga pengetua SPT ini utk menyedarkan anak-anak murid yg tak tahu asal usul mereka.
Inilah akibatnya bila sejarah tak diajar semasa di sekolah rendah.

TETAPI saya tak suka cara IBRAHIM ALI dlm banyak hal kerana terlalu "RASIS". Satu shj cadangan beliau yg saya sokong iaitu" Wujudkan sekolah satu aliran. Tak perlu sekolah vernakular kerana inilah hasilnya yang kuita dpt lihat sekarang"
MAAF. jika ada yg tersinggung

Tanpa Nama berkata...

Sebagai golongan guru saya amat bersimpati dengan pengetua tersebut tapi nasi sudah jadi bubur, terlajak perahu boleh ditarik terlajak kata buruk padahnya.
Namun apa pun terjadi saya tetap hormat kepada pengetua tersebut sebagai guru yang telah banyak melahirkan pelajar yang berjaya, cemerlang dan terbilang. Namun sebagai manusia biasa dia tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Kesalahan itu perlu dimaafkan, janganlah sesiapa mengambil tindakan yang boleh menyebabkan satu keluarganya terseksa. Sekarang ini pun saya percaya keluarga pengetua tersebut bergelut dengan segala macam tomahan dan kata-kata pedas dari pelbagai pihak.Kita juga tidak boleh menghalang orang lain memperkatakan perkara tersebut kerana mereka juga ada sebab tersendiri.

Cuma pesan saya kepada pengetua tersebut fikirlah semasak-masak sebelum mengeluarkan kata-kata dihadapan ramai orang.