Jumaat, 27 Ogos 2010

Pengetua 'rasis' dijangka bertukar sekolah

Muhamad Abdul Qayyum
Ogos 27, 10
6:00pm

Pengetua lelaki sebuah sekolah menengah luar bandar di Kedah yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur perkauman kepada pelajar bukan Islam baru-baru ini, dijangka ditukarkan ke sekolah baru yang juga terletak di kawasan luar bandar, mulai 1 September ini.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau (SMKBS) itu dikatakan akan memulakan tugasnya di sebuah sekolah menengah yang terletak di kawasan Felda dalam daerah pendidikan Baling/Sik.

Sumber berkata, pertukaran yang secara 'suka sama suka' itu adalah sebagai tindakan alternatif awal yang diambil bagi meredakan suasana hubungan antara komuniti setempat dengan pengetua berkenaan.

"Langkah itu difikirkan sesuai untuk masa ini dan ia adalah proses pertukaran biasa," kata sumber itu yang memberitahu siasatan terhadap pengetua tersebut dijalankan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan yang dikendalikan Penolong Pegawai Pelajaran (Hal Ehwal Murid), Salmah Hamdan.

'Balik ke China'

"Secara lisannya, pengetua berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan beliau menunggu surat rasmi untuk berbuat demikian," katanya.

Selain murid, beberapa guru SMKBS dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan juga memberi kenyataan dan bermesyuarat bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Turut menyiasat kes itu ialah jemaah nazir dari Putrajaya dan polis cawangan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Pengetua berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata "balik ke China" kepada pelajar bukan Islam sekolah berkenaan dalam majlis perhimpunan pagi, baru-baru ini kerana menegur mereka yang tidak menghormati pelajar Islam yang berpuasa.

Tindakan itu mendapat respos segera daripada partai politik - MCA dan Gerakan - yang mahu tindakan diambil terhadap pengetua berkenaan termasuk menukarkan ke tempat lain.

Sumber itu berkata, pengetua berkenaan juga telah meminta maaf kepada sekumpulan pelajar terbabit dalam pertemuan khas di sekolah berkenaan beberapa hari lalu.

Rujukan: http://www.malaysiakini.com/news/141303

Malaysiakini: 27 Ogos 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Demi memulihkan situasi sekolah pertukaran Pengetua dari sekolah tersebut sangat penting dan merupakan satu keputusan yang bijak. Barangkali tindakan tersebut agak menyedihkan kerana perpindahan berlaku ketika suasana sekolah yang masih diperkatakan oleh masyarakat setempat bahkan seluruh negara sudah tahu apa yang berlaku.
Sebagai rakan guru di seluruh Malaysia, kita berharap Pengetua tersebut lebih tenang di tempat yang baru. Saya berharap Pengetua tersebut tidak patah semangat menjadi pentadbir sekolah yang bagus.
Cuma kita berharap keadaan sama tidak berulang kedua kali. Saya berada di sekolah yang pernah ada kontrovesi disebabkan ucapan Pengetua yang merendah-rendahkan sesuatu kaum dan ternyata selepas itu pengetua tersebut tidak senang kerana masyarakat sekeliling tidak pernah berhenti mempersoalkan kewajaran pengetua tersebut mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Apabila pengetua tersebut berpindah maka situasi yang dulu muram kembali ceria. Ini bermakna penting bagi pengetua tersebut berpindah ke sekolah yang lain.
Apa pun saya bersimpati dengan pengetua tersebut kerana tujuan yang baik disalahertikan oleh pihak-pihak tertentu dan yang lebih memilukan ialah ada campurtangan orang-orang politik yang akhirnya menambahkeruhkan lagi keadaan.

" SELAMAT PAGI CIKGU"