Selasa, 19 Oktober 2010

Dua pengetua kena tatatertib

2010/10/19
Tindakan dilaksanakan selepas mengaku buat kenyataan berbaur perkauman

KUALA LUMPUR: Dua pengetua, masing-masing dari sekolah menengah di Kulai, Johor dan Sungai Petani, Kedah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, digantung tugas ketika prosiding tatatertib berjalan sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra (SMKTARP), Kulai kini ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor, manakala pengetua Sekolah Menengah Bukit Selambau (SMBS), Sungai Petani di Pejabat Pelajaran daerah Kuala Muda, berkuat kuasa 23 Ogos lalu.

Beliau berkata, tindakan ke atas pengetua SMKTARP yang kini dalam prosiding tatatertib diambil berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Tindakan ini diambil selepas kerajaan mengambil kira faktor bahawa pengetua terbabit membuat empat kali permohonan maaf dan menarik balik ucapannya kepada pihak berkenaan.

“Permohonan maaf itu dibuat pada perhimpunan mingguan, di bilik gerakan sekolah ketika pertemuan dengan guru bukan Melayu sesi pagi, di kantin sekolah dan dari kelas ke kelas,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, pengetua berkenaan dihadapkan dengan tiga pertuduhan kerana membuat pernyataan yang berbaur perkauman dan diberi peluang untuk membela diri selama 21 hari.
“Pengetua SMBS pula diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran dan pegawai berkenaan sudah memohon maaf secara terbuka kepada pihak terbabit,” katanya.
Katanya, insiden yang membabitkan segelintir pegawai awam itu tidak seharusnya dilihat sebagai menggambarkan pendirian kerajaan.

Ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), beliau berkata, prosiding dan siasatan mengambil masa kerana bagi kes di Kulai, ia membabitkan banyak saksi berikutan kes berlaku pada majlis perhimpunan manakala keterangan yang diterima daripada saksi pula berbeza-beza.

“Biar kita siasat. Orang yang dituduh membunuh pun diberi hak bela diri. Dalam hal ini, sebelum menjatuhkan hukuman, kena tengok situasi sama ada dengan niat nak menghasut atau kerana marah atau kerana apa-apa pun, baru dapat keputusan adil,” katanya.

Beliau berkata, kes itu bukan kerana indoktrinasi daripada Biro Tata Negara (BTN) dan kerajaan tidak bercadang menutup BTN.

Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Mohamed Nazri berkata, kerajaan tetap akan mengambil tindakan terhadap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee berhubung klip video yang diterbitkannya yang dikatakan mengandungi unsur perkauman.

“Laporan polis sudah dibuat, dan kita sedang kumpul maklumat serta melihat undang-undang berkaitan untuk mengambil tindakan,” katanya.

Berita Harian Online: 19 Oktober 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Itulah jangan cakap sembarang cakap.Jangan fikir diri sendiri.Zaman dulu sudah berlalu sejarah tinggal sejarah buat apa nak ulang-ulang. Sekarang ini kita hendak merealisasikan slogan Kerajaan Malaysia "1Malaysia". Bila disebut 1 Malaysia maka kita kena mengakuilah hak orang lain dalam negara. Dalam negara kita tiada kasta.Ertinya kita lihat diri kita sama dengan orang lain


Seperkara lagi kadang-kadang pemimpin kita selalu menyebut hak ketuanan di Malaysia tetapi lupa menyebut bahawa Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah sama tinggi kedudukan dengan Orang Melayu di Semenanjung.Jadi, itu fakta sejarah tidak boleh diubah.

Apa pun kita menghormati sesiapa sahaja dalam negara bukan kerana bangsa mereka tetapi kerana mereka adalah manusia