Selasa, 26 Oktober 2010

Guru lelaki, wanita diseimbang

Oleh Nasir Abd Wahab, Badrul Hizar Ab Jabar dan Amir Mamat
bhnews@bharian.com.my
2010/10/26

MUHYIDDIN bertemu pelatih guru selepas merasmikan Pusat Serantau Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) serta merasmikan tiga blok bangunan tambahan  di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, di Durian Daun, semalam.
MUHYIDDIN bertemu pelatih guru selepas merasmikan Pusat Serantau Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) serta merasmikan tiga blok bangunan tambahan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, di Durian Daun, semalam.
Dasar perkukuh bahasa Inggeris dalam Sains, Matematik mulai tahun depan

MELAKA: Kerajaan akan mengambil langkah sesuai secara berperingkat bagi menambah pengambilan guru lelaki untuk memastikan nisbahnya seimbang sekali gus amanah mendidik anak bangsa tidak terpikul di bahu guru wanita saja.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata nisbah pengambilan guru lelaki dan wanita akan diselaraskan mengikut keperluan selepas mendapati wanita terus mendominasi profesion berkenaan ketika ini.

Katanya, berdasarkan kepada 34,712 pelatih guru yang sedang menuntut di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara, 22,805 membabitkan pelatih wanita berbanding 11, 907 lelaki.

“Kerajaan tidak menafikan peranan kaum Hawa yang lebih ramai memilih bidang keguruan ini, tetapi kami juga memerlukan peranan guru lelaki untuk memantapkan institusi pendidikan negara yang berdepan cabaran besar untuk membentuk modal insan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan amanat sambil berdialog dengan 2,000 pelatih guru dalam program Titipan Naluri Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini, semalam.

Sebelum itu, Muhyiddin merasmikan Pusat Serantau Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) dan tiga blok bangunan tambahan empat tingkat IPG Kampus Perempuan Melayu berharga RM50 juta bagi menampung keperluan 2,500 pelatih serta menambah kemudahan infrastruktur di IPG yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka yang dibuka sejak 1935.

Ketika sesi dialog, Muhyiddin berkata, dasar mengukuhkan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains yang akan dilaksanakan mulai tahun depan tanpa meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu dalam subjek berkenaan.
“Kerajaan sebaliknya mahu guru mata pelajaran berkenaan memantapkan penguasaan kedua-dua bahasa itu supaya memudahkan penyampaian ilmu dengan lancar dan berkesan dalam setiap masa sesuai dengan perubahan dasar yang dilakukan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin mahu guru membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik dan mencetus idea inovatif dengan warga pendidik negara Asia Tenggara selepas Malaysia dipilih sebagai SEAMEO SEN.

Katanya, jalinan kerjasama itu bagi merumus dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk mencapai hasrat merapatkan jurang jantina dalam pendidikan dan menyediakan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan SEAMEO SEN juga selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan khas di Malaysia selain matlamat utama pusat itu untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti serta memiliki peluang yang sama menikmati hasil pembangunan sosio-ekonomi.

“Selain daripada itu, penubuhan pusat ini turut menjadi wadah terbaik kepada wakil dari negara anggota SEAMEO berbincang dan merumuskan kaedah paling berkesan untuk menangani jurang pendidikan antara jantina serta mewujudkan program sokongan peralihan bagi kanak-kanak dengan keperluan asas.

“Saya yakin matlamat pendidikan untuk semua akan tercapai sepenuhnya apabila kedua-dua perkara itu dapat ditangani dengan baik, " katanya.

Berita Harian Online: 26 Oktober 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

betul, perlu juga seimbangkan bilangan guru lelaki dan perempuan, tetapi perlu juga dipastikan kriteria dan kelayakan bakal guru lelaki itu setanding dengan bakal guru perempuan. banyak faktor perlu diambilkira, selain minat, komitmen dan sahsiah.

Tanpa Nama berkata...

Yg lembut-lembut tu tolong jgn ambil

guru yahya berkata...

yg lembut jgn diambil, tetapi hairan juga bagaimana selalu terlepas masuk IPGM. saya juga cadangkan agar guru tidak merokok diutamakan, agar imej guru dpt dipandang lebih bersih