SELAYANG UTAMA – Selaras dengan tahap prestasinya yang mencapai sistem pengurusan kualiti mematuhi standard MS 1SO 2001:2008, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak terus melakukan inovasi.
Terbaru, julung kali pelaksanaan sistem E-penempatan dilakukan tahun ini untuk memudahkan pelajar khususnya selepas tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mendaftar kemasukan sekolah ke tingkatan satu.
Timbalan Pegawai PPD Gombak, Patifah Shamsudin berkata, sebelum ini proses pendaftaran berkenaan perlu dibuat secara manual dengan cara mengisi borang yang perlu diambil di sekolah.
“Melalui E-penempatan ini, bukan sahaja memudahkan ibu bapa dan pelajar, malah pihak sekolah kerana hanya perlu ‘klik’ dan boleh terus membuat permohonan kemasukan.
“Dari rumah pun proses ini boleh dilakukan. Jika di rumah mereka tiada Internet, ia boleh dilakukan di sekolah,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kualiti 2010 dan Jamuan Hari Raya PPD Gombak, di Pejabat PPD Gombak, di sini.
Dalam pada itu Patifah berkata, E-penempatan yang mempercepatkan proses berkaitan itu sudah dimulakan sejak tahun lalu lagi dan kini ia diaplikasikan sepenuhnya.
Katanya, dalam masa sama proses pendaftaran berkaitan dalam talian memudahkan pihaknya memantau jumlah unjuran bilangan penempatan pelajar sesebuah sekolah.
“Jika sudah nampak satu-satu sekolah sudah terlalu penuh, mungkin kita boleh cadangkan pelajar itu ke sekolah lain berhampiran.
“Selain itu, kita percaya sistem ini juga dapat mengurangkan jumlah rayuan pertukaran sekolah, sekali gus lebih kepada kepuasan pelanggan,” katanya.
Menurutnya, setiap PPD juga kebiasaannya mempunyai inovasi sendiri dan jika sistem seumpamanya seperti E-penempatan ini dilihat berkesan, ia akan diuar-uarkan dan Jabatan Pelajaran akan membuat penyelarasan.
Terdahulu, mengulas berhubung majlis diadakan, katanya ini merupakan tahun kedua PPD Gombak meraikan Sambutan Hari Kualiti yang akan dipenuhkan dengan pelbagai pengisian dari 1 hingga 30 Oktober ini.
Difahamkan, sistem E-penempatan merupakan inisiatif sendiri oleh kakitangan di PPD Gombak.
Sinar Harian: 7 Oktober 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan