Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
2010/10/03
Pelajar Tingkatan Empat terima 12 jahitanALOR SETAR: Gara-gara menegur kerana membuat bising di dalam kelas, seorang pelajar Tingkatan Empat menerima 12 jahitan di kepala akibat dihentak dengan kerusi kayu oleh dua rakan sekelasnya yang berang dengan tindakannya itu.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung, di sini, Khamis lalu, Mohd Shafiq Abdul Aziz, 16, diserang sehingga jatuh sebelum seorang daripada suspek menghentak kepala mangsa dengan kerusi kayu.
Mangsa yang berlumuran darah dipapah pelajar lain ke pejabat sekolah untuk mendapatkan rawatan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) sekolah berkenaan.
Bapa mangsa, Abdul Aziz Shaari, 46, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 10.30 pagi oleh PKHEM sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.
“Sebaik tiba di HSB, guru kelas memberitahu anak saya sedang mendapatkan rawatan dan saya tidak berkesempatan melihat keadaannya. Saya kemudian terus ke sekolah bertemu PKHEM bagi mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku.
“Apa yang mengecewakan ketika pertemuan itu PKHEM memberitahu anak saya hanya mengalami cedera ringan dan meminta perkara ini tidak diperbesarkan. Oleh kerana percaya tidak ada perkara serius berlaku, saya pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, sejurus anak pulang ke rumah, saya terkejut apabila mendapati kepalanya mendapat 12 jahitan,” katanya yang terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada petang hari kejadian.
Beliau berkata, sehari selepas kejadian anaknya mula pening, sesak nafas dan muntah-muntah sebelum dirujuk semula ke HSB untuk rawatan.
Berita Harian Online: 3 Oktober 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan