SUDAH sekian lama hati ini terpanggil untuk memberi komen mengenai sistem pendidikan di Malaysia yang saya rasa agak beku. Sebagai seorang guru yang sudah bertugas selama 16 tahun, saya kasihan dengan pelajar-pelajar yang telah dikelaskan sejak dari sekolah rendah lagi. Dalam hubungan ini terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Seperti yang kita sedia maklum, anak-anak kita mempunyai kemahiran mendengar, berfikir dan membuat keputusan yang amat berbeza. Yang pandai tentunya boleh ke hadapan dengan cepat, menerima ilmu dengan lancar bak kata orang 'sedikit diajar banyak yang dapat'.
Tetapi golongan ini adalah minoriti di sekolah-sekolah harian biasa. Selebihnya adalah pelajar yang sederhana dan lemah. Adakah layak pelajar yang dikategorikan lemah ini diasak dengan bebanan sukatan pelajaran yang terlalu tinggi, sedangkan di sekolah rendah lagi mereka gagal kuasai?
Cuba bayangkan pelajar yang sentiasa gagal Matematik sejak di bangku sekolah rendah lagi, diasak bertubi-tubi dengan Matematik yang lebih susah di sekolah menengah. Mengapa kerajaan seperti tidak nampak golongan ini dan sering menumpukan kepada prestasi peperiksaan dan melebihkan merangka pelbagai program untuk mereka yang terlebih pandai sahaja? Mereka yang 'santan kelapa' selalunya bermotivasi dalaman dan sememangnya mempunyai matlamat sendiri kerana mereka pelajar bijak yang tahu berfikir dan merancang masa hadapan.
Tetapi cuba anda semua bayangkan apa akan jadi kepada pelajar lemah yang akal mereka tidak sampai menerima ilmu yang sebegitu tinggi? Sudah tentu mereka akan bermain, buat bising, merayau dan ponteng sekolah. Kenapa mereka dipaksa belajar silibus yang sebegitu tinggi? Tidak adakah sebarang usaha untuk golongan seperti mereka diajar silibus yang bersesuaian dengan pencapaian akal dan bakat yang mereka ada?
Sebagai guru saya sedih apabila pelajar saya berkata, Cikgu, kami dah baca tapi tak dapat-dapat juga. Susah sangat nak masuk otak. Mereka bukan malas tetapi tidak dianugerahkan oleh Allah otak yang baik dan latar belakang keluarga yang mungkin kurang memberi motivasi.
Perlu sangatkah golongan seperti mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaan Malaysia (SPM) yang silibusnya agak berat dan mencabar? Pada kebiasaannya golongan yang terlalu lemah ini akan gagal dalam semua mata pelajaran. Kesudahannya mereka belajar selama berbelas tahun tetapi tidak mendapat apa-apa, bukan kerana kebodohan mereka tetapi kerana sistem yang dicipta oleh kita yang terlalu mementingkan sijil.
Apalah salahnya jika golongan yang terlalu lemah ini dikecualikan daripada mengambil SPM. Sediakan satu peperiksaan khas dengan silibus yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan mereka.
Golongan seperti mereka tidaklah terlalu ramai, mungkin tiga atau empat kelas yang tercorot. Mungkin sahaja kursus kemahiran boleh diadakan di dalam bangunan sekolah sendiri. Selepas habis tingkatan lima sekurang-kurangnya mereka mendapat 'sesuatu' daripada 'tiada apa-apa'. Mungkin sahaja ilmu yang mereka dapati di sekolah menengah boleh dijadikan sebagai punca pendapatan selepas tamat sekolah.
Cukup-cukuplah kita mengkelaskan generasi muda yang berada di bangku sekolah dengan 'si pandai' di kelas sains dan 'si tidak pandai' di kelas sastera. Ingat! Bukan pelajar yang mengkelaskan diri mereka tetapi kita sebagai golongan terpelajar yang berbuat sedemikian sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
Integrasi ilmu sains dan seni perlu dibuat secara menyeluruh. Bukan ahli sains, doktor, arkitek sahaja golongan yang cerdik pandai. Tukang masak, pendandan rambut, juru solek dan pelukis juga golongan cerdik pandai. Mereka mahir di dalam bidang mereka sendiri, punya bakat dan kebolehan tersendiri yang sudah tentunya datang dari Allah. Tidak perlulah kerajaan membuat berpuluh seminar, mengkaji berpuluh teori dan sistem persekolahan negara luar sedangkan jalan penyelesaiannya ada di depan mata.
MASLINA MD NOR
Sekincan, Selangor
Utusan Malaysia Online: 25 Oktober 2010
2 ulasan:
saya setuju
Tq
Catat Ulasan