2010/10/21
SAYA adalah bapa kepada seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, Kota Bharu, Kelantan yang belajar di kelas pendidikan khas. Kelas ini menempatkan kira-kira 40 murid. Anak saya mula belajar di sekolah itu sejak 2008.Ketika ini, bangunan kelas pendidikan khas ini terlalu usang dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai tempat pembelajaran terutamanya bagi murid istimewa. Kelas anak saya, terletak di bahagian belakang sekolah dan ia tidak langsung sesuai untuk dipanggil kelas.
Bangunan ini beratapkan zink, sistem pendawaian tidak sempurna, berlantaikan simen, berdindingkan separuh simen dan separuh lagi jaring besi dan yang paling menyedihkan lokasinya terletak di tanah rendah dan mudah dinaiki air.
Selepas saya membuat aduan kepada Kementerian Pelajaran, kelas itu hanya dibaiki sedikit seperti dicat baru, pintu utama ditukar, jubin dipasang pada lantai dan tingkap diganti dengan pintu gelungsur.
Tetapi lokasinya masih lagi di tempat sama dan masalah banjir tetap berulang setiap kali hujan lebat. Jika kelas dinaiki air, murid terpaksa diberi ‘cuti’ untuk dua atau tiga hari. Guru pula terpaksa bertungkus lumus membersihkan kelas. Inikah penyelesaiannya?.
Saya difahamkan pihak JPN sudah melawat beberapa kali tetapi tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini.
Sepatutnya, sebagai anak istimewa, pihak JPN Kelantan sepatutnya memberikan keutamaan kepada mereka dengan menyediakan bangunan baru di lokasi baru supaya mereka dapat belajar dalam keadaan lebih sempurna. Mereka juga layak untuk mendapat layanan sama seperti murid lain.
Saya sangat berharap Kementerian Pelajaran, JPN Kelantan dan pentadbiran sekolah dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini supaya tidak berulang.
Pada pendapat saya, penyelesaian yang sesuai bagi masalah ini ialah dengan menyediakan bangunan baru di lokasi baru.
BAPA KECEWA,
Kota Bharu, Kelantan
Berita Harian Online: 21 Oktober 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan