Jumaat, 1 Oktober 2010

Pahang kurang 200 guru tauliah


ABDUL Aziz Abdul Latiff (dua kanan) menyampaikan surat penempatan kepada Nurul Afzan Abdullah Zawawi pada majlis taklimat dan orientasi penempatan GSTT ke Sekolah-Sekolah Menengah Harian Pahang di Temerloh, semalam.


TEMERLOH 30 Sept. - Jabatan Pelajaran Pahang berhadapan dengan masalah kekurangan 200 guru bertauliah di sekolah menengah bagi menggantikan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negeri tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, daripada jumlah itu, seramai 114 guru bertauliah diperlukan bagi mengajar Bahasa Inggeris.

Menurutnya, walaupun pihaknya baru sahaja menambah seramai 202 guru bertauliah yang mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), jumlah yang mengajar subjek itu masih tidak mencukupi.

''Kita perlu lebih 200 guru untuk ditempatkan di semua sekolah menengah di Pahang bagi menggantikan GSTT ini. Tambahan 200 guru lagi akan dilaksanakan November ini.

''Bagi Bahasa Inggeris pula, ia menjadi antara subjek paling sedikit diambil dalam kursus perguruan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan orientasi penempatan GSTT ke Sekolah-Sekolah Menengah Harian Pahang di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd. Nadzri Ab Wahab.

Pada majlis itu, seramai 202 GSTT hadir sebelum mereka dihantar dan ditempatkan bertugas di seluruh daerah.

Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, subjek Pengajian Am menjadi pilihan tertinggi apabila seramai 37 GSTT memilihnya.

''Subjek-subjek lain termasuk Sejarah, Geografi dan Bahasa Arab," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz meminta guru-guru baru berkenaan supaya memberi komitmen yang tinggi walaupun ditempatkan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Apa yang paling penting tegasnya, ialah sumbangan yang tidak ternilai dalam usaha melahirkan modal insan berwibawa kepada negara.

''Kita mahu guru-guru baru ini mempunyai semangat yang berterusan dalam usaha memberi pendidikan kepada anak bangsa mereka sendiri," katanya.

Utusan Malaysia Online: 1 Oktober 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bagus kepada guru gstt di Pahang yg akan bertugas...tgok lah sendiri wahai guru2 tetap..walaupun hanya bergelar guru gstt namun mereka tetap akur akan perintah dan sggup bertugas walau di kawasan pedalaman...kalu guru tetap memang sibuk dok nak tukar sek jer...xnak mengajar di pedalam sebaliknya mahu berpindah ke kawasan yg dekat dengan rumah mereka...ape kes ney???

Tanpa Nama berkata...

Hai..ada pula kekosongan jawatan di Pahanag. Apasal hantar guru berlambak-lambak di Sabah pula sedangkan di sana ada kosong. Mau kc tu EPW kah ??????

Tanpa Nama berkata...

guru tetap yg akur pun ramai, yg buat tidak akur bila cukup tempoh pun tidak dilayan, ancaman keselamatan jenis ilmu lain nak masuk column mana dlm egtukar?