Khamis, 7 Oktober 2010

Subang Bestari fokus bentuk sahsiah murid



SUBANG BESTARI – Pelbagai aktiviti dianjurkan sekolah untuk murid Tahun Enam yang baru lepas menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 baru-baru ini.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari, Abd Aziz Md Ali berkata, sebagai menarik minat murid supaya hadir ke sekolah, guru merancang pelbagai aktiviti berkaitan hiburan dan ceramah untuk mereka.

“Antaranya, sekolah mengadakan ceramah berkaitan pembinaan jati diri dan persediaan untuk memasuki alam sekolah menengah.

“Dari penganjuran program ini, dapatlah murid mengetahui hala tuju mereka selepas ini dan memilih sekolah yang sesuai dengan keputusan UPSR mereka nanti,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan sempena Majlis Penutup Basikalthon.

Beliau berkata, murid Tahun Enam juga dibawa ke beberapa tempat dalam lawatan akhir tahun mereka untuk memberikan mereka kegembiraan selepas menumpukan perhatian dalam peperiksaan.

“Dengan adanya lawatan ini, murid tahun enam dapat melupakan sementara kerisauan mereka tentang keputusan akan diperoleh pada keputusan UPSR nanti.

“Sebagai mana yang kita ketahui, selalunya murid apabila selesai sahaja peperiksaan, mereka mesti akan memeriksa semula soalan dan jawapan yang dijawab sama ada bertepatan dengan jawapan dikehendaki,” katanya.

Oleh itu, dengan adanya aktiviti ini, murid tidak lagi terfikir akan hal berkaitan keputusan peperiksaan dan hanya ingat untuk bergembira sebelum masing-masing meninggalkan sekolah.

“Waktu inilah juga, guru-guru kelas menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mengisi kekosongan waktu yang masih berbaki sebelum tamat musim persekolahan tahun ini.

“Seperti menganjurkan majlis jamuan akhir tahun dan mengisi waktu dengan mencari maklumat menggunakan Internet di makmal komputer,” katanya.

Menurutnya, jika tiada penganjuran aktiviti ini di sekolah, murid-murid akan mengambil kesempatan untuk tidak hadir ke sekolah kerana beranggapan mereka tidak lagi perlu belajar.

“Namun sekolah amat berharap agar ibu bapa sentiasa memberikan kerjasama supaya menyarankan anak mereka hadir ke sekolah untuk mengikuti aktiviti yang dirancang oleh sekolah.

“Sekolah juga tidak ketinggalan berharap murid sentiasa berdoa agar keputusan peperiksaan mereka nanti mendapat keputusan yang cemerlang dan menjadi orang berguna pada masa depan.

Sinar Harian: 7 Oktober 2010

Tiada ulasan: