Selasa, 19 Oktober 2010

Tampil hebat

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
2010/10/19

200 guru sertai bengkel bina keterampilan diri

GURU perlu menjaga penampilan supaya kelihatan lebih menarik. Mereka tidak perlu berhias berlebih-lebihan, sekadar sedap mata memandang, kemas dan bersih.

Bagi membantu guru tampil dengan imej sesuai dengan kerjaya, New Straits Times Press (NSTP) menganjurkan bengkel bertemakan `Guru Tampil Hebat Pelajar Tambah Minat’ berlangsung hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program sehari yang disertai 200 guru sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu memberi peluang mereka meningkatkan pengetahuan mengenai cara berpakaian dan menjaga penampilan supaya kelihatan anggun dan menarik perhatian pelajar.

Penampilan guru adalah antara elemen penting dalam meningkatkan minat pelajar supaya lebih bersemangat dan berikan tumpuan dalam bilik darjah.

Seorang peserta, Nurul Ashiqin A Razak, berkata dia bangga kerana berpeluang menyertai program berkenaan. Banyak pengetahuan mengenai penampilan diri diperoleh.

Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Enam, Bandar Baru Bangi itu berkata, sebagai pendidik penampilan penting. Pelajar akan menjadikan apa yang dipakai dan digayakan guru sebagai ikutan.
“Pelajar sering meneliti apa yang dipakai atau digayakan guru ketika mengajar. Semua unsur ini menarik minat mereka untuk meneruskan proses pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pengedaran NSTP, Eddie H’ng, Pengurus Jenama Nestle Products Sdn Bhd, Foo Meng Keet dan Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kumpulan Jakel, Azlan Abu Bakar.

Seorang lagi peserta, Mohd Arif Abdullah, berkata dia seronok menyertai program sedemikian kerana aktiviti luar rutin hariannya dapat mengembangkan minda selain bertemu rakan guru lain daripada berlainan sekolah.

Pertemuan sebegini kata beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, membolehkan mereka bertukar pengetahuan dan pengalaman untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

“Banyak perkara baru dipelajari terutama dalam meningkatkan penampilan serta gaya persembahan. Walaupun ramai mengetahui kepentingan elemen ini namun ramai guru tidak mengamalkannya.

“Program sebegini perlu diteruskan supaya lebih ramai guru mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Bagi Chan Soh Wah, berkata aktiviti sebegini mendedahkan guru kepada dunia pengajaran secara kreatif dan inovatif. Katanya, ceramah motivasi dan penampilan serta pengambilan makanan seimbang daripada pakar sangat berguna dan dijadikan panduan ketika mengajar.

“Pengambilan makan seimbang penting supaya guru sentiasa cergas dan sihat,” katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara aktiviti yang dimuatkan pada program berkenaan ialah Bengkel Gaya Hidup Sihat oleh Perunding Makanan, Indra Balaratnam, demo masakan oleh Chef Ismail dan Chef Florence, Bengkel Keterampilan Diri daripada duta Ariani Skaf & Selendang iaitu peragawati Ekin.

Bengkel keterampilan diri pula dijayakan perunding kecantikan daripada Sendayu Tinggi.

Berita Harian Online: 19 Oktober 2010

Tiada ulasan: