Sabtu, 23 Oktober 2010

KPKK Mohon Kementerian Teliti Isu Guru Bekerja Pada Hari Sabtu

KANGAR, 23 Okt (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPKK) pada Sabtu meminta Kementerian Pelajaran agar meneliti isu guru yang terpaksa bekerja pada hari Sabtu dengan menghadiri pelbagai kegiatan termasuk kelas tambahan.

Presidennya Hashim Adnan berkata buat masa ini semakin ramai guru terpaksa mengorbankan hari rehat tersebut yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga kerana tugas-tugas berkenaan.

"Sewajarnya perkara ini diteliti kerana ia juga menjadikan beban tugas guru semakin bertambah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco KPKK di sini.

Selain itu, Hashim berkata KPKK juga meminta kementerian agar memberi pendedahan secukupnya mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kepada kira-kira 10,000 guru sekolah rendah di negara ini sebelum dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata perkara itu perlu memandangkan rata-rata guru belum memahami KSSR yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tersebut.

"Bagi memastikan pelaksanaan KSSR berkesan, para guru harus diberi pendedahan yang secukupnya kerana kurikulum tersebut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran," kata beliau.

Mengulas isu berkaitan, Hashim berkata KPKK juga akan menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran agar meneliti pengurusan kewangan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan (PSKPP).

Beliau berkata ini kerana sehingga kini tidak ada satu laporan yang jelas mengenai pengurusan kewangan persatuan tersebut yang diletakkan di bawah Jabatan Pelajaran negeri.

Katanya KPKK juga menerima aduan daripada para guru yang dipaksa membayar yuran antara RM3 dan RM5 setahun oleh persatuan tersebut walaupun ia sebenarnya tidak wajib.

"Guru tak boleh dipaksa bayaran yuran.

Jabatan Pelajaran tak ada hak (memaksa guru). Ini sukarela," katanya.

Hashim turut menegur tindakan Jabatan Pelajaran daerah di sebuah negeri yang bertindak di luar batas profesional apabila mengedarkan senarai nama guru dan butiran peribadi mereka termasuk gaji, kepada sekolah tempat guru terbabit mengajar untuk menuntut tunggakan yuran PSKPP.

BERNAMA: 23 Oktober 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya sokong guru tidak buat kerja hari sabtu sebab ini sahaja masa yang mereka ada bersama-sama dengan keluarga.

Sebenarnya perkara ini berlaku kerana ada Pengetua atau Guru Besar yang mahu menunjukkan kononnya komitmen dalam kerja sehingga tidak terfikir masalah kakitangan.Maklumlah mahu cepat naik pangkat.


Namun begitu ada juga kes-kes dimana guru-guru sendiri mengadakan aktiviti seperti perkhemahan hujung minggu. Ini tidak ada masalah kerana guru itu sendiri mahu buat..

Yang masalah ialah guru-guru dipaksa datang dengan macam-macam perkataan.

blogger pandai berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

Harap NUTP bertegas dalam menyelesaikan isu kutipan yuran PSKPP yang memaksa guru untuk buat bayaran. (kalau PSKPP tak paksa pun, Guru Besar mengugut guru pula untuk membayar kerana nak selamatkan tengkuk dia).

Sudahlah duit dikutip tidak jelas rekodnya. Bayangkan saban tahun diperah diminta untuk bayar. Seorang guru RM5. Kalau 10 000 orang??
Kami guru yang bukan ahli tak pernah tandatangan persetujuan ape pun dipaksa bayar. INI kerja gila. Boleh report kepada pihak SPRM.