Rabu, 6 Oktober 2010
Pengurusan sekolah perlu manfaat program 5S
KOTA BHARU - Pengurusan sekolah serta pelajar di negeri ini, dinasihatkan supaya mengaplikasikan program pengurusan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa amal) bagi memperkasa bengkel-bengkel di sekolah.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, pengurusan secara sistematik berkenaan perlu dicontohi dan pengurusan sekolah serta pelajar seharusnya memanfaatkannya.
Menurutnya, pengurusan secara sistematik itu dapat membantu pengajaran dan pembelajaran di sekolah di samping dapat menarik minat pelajar-pelajar di bengkel.
“Program ini akan mewujudkan suasana yang ceria dan menarik di dalam bengkel dan kita sebagai guru juga boleh mengembangkannya di bahagian kantin.
“Saya melihat jika ia dilaksanakan dengan baik mengikut kriteria tertentu sudah pasti suasana yang selesa ini dapat membantu kecemerlangan pelajar di dalam setiap kemahiran yang dipelajarinya,” katanya semalam sempena Majlis Anugerah Bengkel Perdana (Prime) Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Kelantan kelmarin.
Hussain berkata, suasana yang ceria di dalam bengkel di sekolah-sekolah menengah teknik, vokasional dan kebangsaan, khususnya di Kelantan ini mampu memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti pendidikan yang menekankan kemahiran seterusnya melahirkan modal insan berkemahiran.
“Saya sangat gembira dengan program yang dilaksanakan ini dan mengharapkan guru-guru dan pelajar dapat mengaplikasikannya secara berterusan.
“Semua warga pendidik juga dinasihatkan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi menghadapi cabaran, dan seterusnya memastikan kecemerlangan akademi dan sahsiah pelajar,” katanya.
Sinar Harian: 6 Oktober 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan