Isnin, 11 Oktober 2010

Pembangkang menangguk di air keruh isu ucapan 2 pengetua

Oleh Ridzuan Yop

2010/10/11

APAKAH isu sebenar di sebalik dua pengetua sekolah menengah masing-masing di Johor dan Kedah dilaporkan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ketika memberi ucapan di sekolah mereka Ogos lalu, sehingga mencetuskan polemik mengenainya.

Walaupun siasatan berhubung dakwaan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pada masa sama, pelbagai pihak kesal kerana ada pihak begitu emosional terutama pembangkang yang mahu pengetua terbabit segera dihukum.

Sudah pasti ada pihak yang sengaja memutar-belitkan isu itu dan tanpa usul periksa menuduh ia berbaur perkauman disebabkan ada pihak yang kurang senang atau menyalahtafsirkan ucapan yang dibuat oleh pengetua terbabit.
Persoalannya, benarkah pengetua berkenaan membuat ucapan sedemikian dan disifatkan oleh pihak tertentu sebagai perkauman atau berlaku provokasi terhadap pengetua terbabit? Pada masa sama tidak dinafikan ia mungkin berpunca daripada beberapa rentetan dan situasi yang berlaku membabitkan pelajar di sekolah itu sebelum ini.

Tugas hakiki seorang pengetua atau guru besar di sesebuah sekolah tidak sekadar memberikan ilmu kepada pelajar, tetapi antara keutamaan adalah mendisiplinkan mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sendiri dilaporkan berkata, insiden itu hanyalah salah faham. Namun, kenapa masih ada pihak yang mahu mengungkitnya dan beriya-iya mahu pengetua terbabit dihukum?

Sudah pasti ia tidak lebih daripada tindak tanduk pembangkang yang menggunakan apa saja isu bagi menangguk di air keruh. Semua tuduhan pihak terbabit sengaja diputar belitkan bagi membesarkan isu itu demi kepentingan politik sempit mereka sehinggakan ada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut terperangkap sehingga ‘menari’ ikut irama mereka.
Sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh diadili berdasarkan aduan pihak yang tidak berpuas hati dengan pengetua berkenaan atau andaian pembangkang semata-mata.

Selepas usaha pihak terbabit tidak berjaya untuk ‘menghukum’ pengetua berkenaan, mereka lantas mempolitikkannya dengan menjadikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran sebagai sasaran.

Pembangkang mendakwa kononnya Menteri Pelajaran enggan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulai Jaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Bagi menolak tuduhan itu, Muhyiddin menegaskan walaupun sebagai Menteri Pelajaran, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua dan guru walaupun didakwa melakukan kesalahan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isu itu tidak wajar dipolitikkan lagi kerana ia sudah diselesaikan pada peringkat sekolah berkenaan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sendiri berjumpa dan menyelesaikannya secara baik dengan semua pihak terbabit.

Beliau berkata, semua pihak terbabit terutama pembangkang tidak wajar memanaskan lagi isu itu yang sudah pun reda kerana ia hanya akan membawa kepada perasaan benci membenci antara kaum jika terus berlanjutan.

“Perkara itu sebenarnya sudah diselesaikan oleh semua pihak terbabit di peringkat sekolah lagi dengan kerjasama PIBG sekolah berkenaan. Semua pihak memahami keadaan yang berlaku kerana salah tafsir terhadap ucapan dibuat.

“Kenapa pembangkang memainkan isu ini? Adalah jelas kerana mereka mendapat faedah politik dan saya mempersoalkan keikhlasan mereka dengan melakukan pendekatan terpilih sedangkan isu klip video yang diterbitkan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee jelas mengandungi unsur perkauman,” katanya.

Klip video bertajuk Namewee F**k Racism Malaysia NAH! itu merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan memarahi pelajarnya dengan perkataan berbaur perkauman.

Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pembangkang mahu jika Namewee dikenakan hukuman, dua pengetua terbabit juga patut dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, katanya, ia adalah dua keadaan berbeza kerana isu perkauman yang dibawa oleh Namewee adalah jelas mengandungi unsur perkauman, hasutan dan boleh menggugat keselamatan negara, berbanding ucapan pengetua terbabit yang jelas disalah tafsir oleh pihak yang membuat aduan.

Namun, katanya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengetua, guru besar atau guru yang dengan sengaja membuat kenyataan berbaur perkauman sehingga boleh menjejaskan keharmonian kaum di sekolah dan negara keseluruhannya.

Berita Harian Online: 11 Oktober 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perkara itu sudah lama berlaku kenapa masih lagi hendak disebut-sebut.Kita tak perlu mengaum seperti harimau.Biarlah pihak yang dipertanggungjawabkan menyiasat dan membuat kesimpulan terhadap ucapan 2 pengetua tersebut.

Semakin kita membicarakan perkara tersebut semakin banyak yang bercelaru dan tidak tepat yang akhirnya hanya mengapi-apikan kaum di negara ini.

Mereka pembangkang pa mau peduli.Memanglah tugas mereka membangkang. Inilah kebaikan negara kita Malaysia ada kebebasan bersuara.

Tanpa Nama berkata...

kalau kerja guru itu kita kata profesional, biarlah pengetuapun menjalankan tugas secara profesional. Jika profesional dia harus matang fikiran, tidak beremosi semasa berucap di kayalak ramai, menunjukkan sifat-siafat kepimpinan yang unggul.

jawatan Pengetua bukan jawatan disandang oleh orang biasa. Bukan sahaja Pembangkang malah pemerintah pun mesti ambil tinadakan yang wajar jika ia menganggu keharmonian negara.