Sabtu, 30 Oktober 2010

Sistem X-Class tarik minat murid Orang Asli



SEBAHAGIAN murid SK Asli Bukit Kemandul yang sedang belajar menggunakan sistem X-Class di makmal komputer sekolah itu di Jalan Kebun, Klang.


KLANG 29 Okt. - Usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan murid Orang Asli melalui kaedah pembelajaran secara visual menampakkan hasil yang positif.

Sistem X-Class yang telah dipasang dan digunakan selama hampir enam bulan di Sekolah Kebangsaan (SK) Asli Bukit Kemandol, Jalan Kebun di sini juga ternyata mampu mewujudkan minat di kalangan murid terbabit untuk belajar.

Sistem itu didapati turut mampu membantu mencatatkan jumlah kehadiran ke sekolah yang tinggi di kalangan murid terlibat, selain teruja untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Sistem itu dipasang dan diselenggara oleh sebuah syarikat pembekal teknologi maklumat, 3F Resources Sdn. Bhd. sejak April lalu.

Guru Besar SK Asli Bukit Kemandol, Azmi Kamal Matlazim berkata, semenjak sistem itu diperkenalkan, murid-murid di sekolah itu mula menampakkan perubahan yang ketara dalam dua mata pelajaran berkenaan.

Katanya, prestasi murid-murid sekolah itu semakin meningkat dan tahap keyakinan pada diri sendiri juga semakin meningkat.

"Saya cukup berterima kasih kepada syarikat 3F Resources dan Galaxy Automation selaku pembekal utama perisian kerana telah memberikan sistem ini secara percuma.

"Saya harap semua murid dapat memanfaatkan sistem ini sebaik-baiknya dan memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti," katanya ketika pada majlis penyerahan rasmi sistem tersebut di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif 3F Resources, Azlizan Mohd. Nayan berkata, sistem X-Class dipasang di makmal komputer sekolah berkenaan bertujuan menyahut seruan Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan penguasaan kedua-dua bahasa tersebut.

Ujar beliau, antara kelebihan X-Class ialah efektif dan boleh dijadikan kaedah alternatif kepada kaedah 'chalk and talk' di dalam kelas.

Selain itu, katanya, kelebihan sistem berkenaan juga ialah ia dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

"Hasil daripada percubaan ini, pihak kami mendapati tindak balas yang baik daripada guru, penyelaras program dan murid.

"Murid-murid juga menunjukkan semangat yang tinggi untuk belajar," ujar beliau yang berharap sistem itu akan benar-benar membawa perubahan dari segi pencapaian akademik di sekolah berkenaan.


Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2010

Tiada ulasan: