Selasa, 5 Oktober 2010

Susu 1Malaysia limpah ekonomi


Muhyiddin Yassin dan Musa Aman (dua kanan) bersama pelajar-pelajar Sk Mutiara kota Kinabalu menunjukkan Susu 1Malaysia semasa pelancaran kempen meminum susu tersebut, di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 4 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Program Susu 1Malaysia di peringkat sekolah rendah bakal memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih meluas dalam jangka panjang.

Menurut beliau, berasaskan kepada keperluan bekalan susu yang banyak untuk menampung program tersebut, pelbagai cabang ekonomi akan terhasil dan mampu mencipta peluang pekerjaan, terutama di Sabah yang merupakan negeri pengeluar susu terbesar di Malaysia.

“Usaha ini secara tidak langsung akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pengusaha sedia ada di Sabah, tetapi juga kepada pengusaha lain yang berpotensi di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Kempen Minum Susu 1Malaysia peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Mutiara di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kesan di peringkat huluan, bakal menyaksikan pembangunan industri tenusu tempatan yang lebih terancang bagi memastikan pengeluaran susu segar dapat dipertingkatkan.

Beliau menambah, di peringkat hiliran pula ia bakal menyaksikan industri pemprosesan dan pembungkusan susu kotak akan dapat diperkembangkan.

Menurutnya, pelaksanaan Program Susu 1Malaysia di semua sekolah rendah di seluruh negara akan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM375 juta setahun.

Katanya, jumlah tersebut berasaskan kepada pembekalan susu sebanyak dua kotak susu seminggu untuk 3.1 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.

Justeru jelas Timbalan Perdana Menteri, kira-kira 270 juta kotak susu diperlukan bagi menjayakan program tersebut setiap tahun.

“Bagaimanapun, sebagai permulaan, murid-murid tahun satu hingga enam akan dibekalkan dengan satu kotak susu dahulu, sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Kerajaan akan menyediakan bekalan susu setakat mana yang ada dahulu ketika ini, sebelum dapat melaksanakan pemberian susu sepenuhnya (dua kotak) kepada murid-murid sekolah rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi daripada aspek kualiti dan akan sentiasa memastikan susu yang dibekalkan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata, jaminan kualiti susu yang akan dibekalkan kepada murid-murid adalah perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Sehubungan itu, tegasnya, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah menyediakan garis panduan pengendalian bekalan susu sekolah bagi memastikan keselamatan, pengendalian dan kualiti bekalan susu mencapai standard yang

ditetapkan.

“Garisan panduan ini mencakupi aspek jaminan kualiti produk, pengangkutan, penyimpanan di gudang dan di sekolah, malah ketika aktiviti pengagihan kepada murid.

“Kualiti adalah perkara utama yang akan diberi perhatian serius kerana beberapa tahun lepas, program seumpama ini terpaksa diberhentikan sementara waktu apabila ia menyebabkan murid muntah dan mengalami keracunan,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 5 Oktober 2010

Tiada ulasan: