Khamis, 21 Oktober 2010

Naik taraf sekolah ikut keutamaan

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Kementerian Pelajaran telah menjalankan audit terhadap 55,000 bangunan di 10,000 sekolah di seluruh negara untuk menentukan status infrastrukturnya dan akan menjalankan usaha baik pulih berdasarkan kerosakan yang dialami, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil memberi jaminan tidak berlaku pilih kasih dalam usaha ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan menyedari tentang keperluan untuk meningkatkan tahap infrastruktur dan prasarana pendidikan tanpa mengira lokasi dan jenis sekolah.

“Kita ambil inisiatif buat audit, nilai setiap sekolah dan dah selesai pun.

“Ini dapat pastikan keadaan sekolah itu sama ada perlu tindakan segera untuk kita laksanakan. Yang penting mesti diambil kira ialah tentang keperluan utama, tiada soal pilih kasih.

“Saya beri jaminan kalau kita guna tanda aras audit yang disediakan, kita harap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sebahagian masalah utama yang kita hadapi di sekolah dapat diselesaikan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, demikian semasa menjawab soalan tambahan P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) mengenai langkah kementerian dalam memastikan hanya sekolah yang mengalami kerosakan teruk dapat diutamakan serta sama ada terdapat jaminan supaya tiada soal pilih kasih dalam agihan peruntukan.

Menjawab soalan asal Kamalanathan, beliau berkata, audit yang dijalankan itu mendapati tiga peratus daripada keseluruhan bangunan sekolah yang diperiksa mengalami kerosakan teruk dan memerlukan perhatian segera, manakala lima peratus bangunan sekolah sedia ada mengalami masalah pendawaian elektrik.

Beliau juga berkata, bahawa pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 564 projek pembekalan air bersih di sekolah luar bandar telah dilaksanakan dengan peruntukan RM197.7 juta manakala 641 projek bekalan elektrik ke sekolah luar bandar dilaksanakan dengan peruntukan RM1.87 bilion, termasuk 140 projek solar hibrid yang dilaksanakan dalam dua fasa sejak 2007.

“Kemudahan asas ini akan terus diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia ke-10 bagi memastikan semua sekolah mendapat bekalan air bersih serta bekalan elektrik yang sempurna,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) tentang kemungkinan kementerian meletakkan sasaran maksimum setahun untuk menyediakan prasarana asas di sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata: “Kalau ada tongkat sakti, Insya-Allah boleh selesai dalam masa setahun. Tapi seperti juga kementerian lain, jumlah (peruntukan) tak cukup, perlu lebih besar.

Justeru, prioriti mesti diberikan.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk bekal air di kawasan pedalaman. Saya yakin dalam tempoh lima tahun RMK-10 mungkin mampu selesaikan sebahagian besar masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyediakan siling peruntukan sebanyak RM8.85 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah RMK-10, yang sebahagiannya akan digunakan untuk menyambung projek yang belum selesai di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan yang dianggarkan berjumlah RM5.36 bilion.

Selebihnya merupakan peruntukan untuk projek baru yang akan diagih-agihkan untuk penambahbaikan, naik taraf bangunan, tambahan bangunan dan pembinaan sekolah baru, katanya. – BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2010

Tiada ulasan: