Rabu, 5 Oktober 2011

Bantuan segera baiki sekolah terbakar



Mohd. Puad Zarkashi (kiri) melihat dua blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya musnah terbakar ketika meninjau keadaan sekolah itu di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 4 Okt. - Kementerian Pelajaran hari ini meluluskan waran bantuan malapetaka segera sebanyak RM20,000 bagi membaiki pendawaian elektrik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya yang dua blok bangunannya musnah dalam kebakaran malam Khamis lalu.

Waran itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi kepada Pengetua sekolah itu, Che Rose Bakar dalam majlis ringkas di sekolah itu di sini sempena lawatan beliau bagi melihat kerosakan akibat kejadian itu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Maimunah Suhaibul.

Kebakaran kira-kira pukul 7 malam itu menyebabkan 10 bilik yang menempatkan tujuh kelas tingkatan satu dan dua serta tiga bilik stor musnah dan api turut memusnahkan sistem pendawaian elektrik bangunan berkenaan dan beberapa blok berhampiran.

Mohd. Puad pada sidang akhbarnya memaklumkan bahawa kementerian bersetuju melalui peruntukan khas malapetaka untuk segera membina bangunan baru bagi menggantikan blok yang musnah itu.

Kata beliau, ia akan segera dibina setelah mendapat penilaian kos sebenar daripada perunding dan jawatankuasa teknikal, sekurang-kurangnya sebelum bermula sesi persekolahan tahun depan.

"Kita tidak mahu proses pembelajaran dan pengajaran pelajar terjejas, kita tiada tempoh masa, tetapi saya beri jaminan ia akan diberikan keutamaan kerana ia dibuat melalui peruntukan khas malapetaka.

"Keadaan sama berlaku di asrama sebuah sekolah di Jitra, Kedah sebelum ini yang pembinaan bangunan barunya dapat disiapkan hanya dalam tempoh tiga minggu sahaja," katanya.

Kata Mohd. Puad, penilaian itu turut melibatkan sistem pendawaian dan paip seluruh sekolah yang sebelum ini turut berada dalam perancangan kementerian untuk dinaik taraf kerana keadaannya yang daif.

Sementara itu, Mohd. Puad merakamkan penghargaan terhadap kecekapan Jabatan Pelajaran negeri yang melaksanakan beberapa langkah segera bagi membolehkan pelajar tingkatan tiga dapat menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tanpa sebarang gangguan.

"Terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri yang segera menghantar kerusi dan meja bagi kegunaan pelajar menduduki PMR.

"Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang bertungkus-lumus membantu mengawal api daripada merebak ke seluruh sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 5 Oktober 2011

Tiada ulasan: