Ahad, 30 Oktober 2011

Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan kaedah pembelajaran anak-anak mereka sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sukar dilaksanakan kerana ia boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, langkah itu juga boleh mendatangkan masalah di peringkat Kementerian Pelajaran untuk merancang kaedah sesuai bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang sebaliknya.

"Perkara ini sebenarnya sudah kita perhalusi, teliti dan pertimbangkan di peringkat kementerian.

"Bukan kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka, tetapi kita mahu lihat pendekatan yang lebih sesuai dan itu yang sedang kita laksanakan ketika ini menerusi program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahukan kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri kaedah pendidikan sains dan matematik bagi anak-anak mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Muhyiddin menambah, keputusan kerajaan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dihormati semua pihak kerana ia hadir dengan jaminan bahawa bahasa Inggeris tidak sesekali dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.

Sebagai contoh tegas beliau, kurikulum MBMMBI yang dilaksanakan tahun ini telah dirombak menjadi lebih menarik, tambahan masa pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan membawa guru penutur bahasa Inggeris untuk memantau guru-guru tempatan.

"Saya percaya langkah-langkah yang diambil kerajaan ini akan membuahkan hasil dalam beberapa tempoh akan datang sebab adalah mustahil ia akan menunjukkan kejayaan dalam masa setahun dua," katanya.


Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2011

Tiada ulasan: