Khamis, 6 Oktober 2011

Kejar insentif bukan punca


Muhyiddin Yassin diiringi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Hartamas, Rosimawati Saad (kanan) meninjau suasana peperiksaan PMR di sekolah berkenaan, semalam. – utusan/Muhamad Iqbal Rosli


KUALA LUMPUR 5 Okt. _ Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kejadian beberapa murid dihalang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berpunca daripada pihak sekolah terlalu mengejar insentif sekolah berprestasi tinggi.

Menurut beliau, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana kejadian yang berlaku kepada beberapa murid di sebuah sekolah di Sarawak dan Baling, Kedah itu merupakan kes terpencil.

Bagaimanapun, Muhyiddin mahu kejadian tersebut dijadikan iktibar dan berharap ia tidak lagi berulang pada masa hadapan.

“Yang penting adalah kesedaran. Jangan sebab hendak mengejar kecemerlangan, kita ketepikan hak pelajar atau abaikan peluang untuk mereka menduduki peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Hartamas dekat sini, hari ini.

Pada lawatan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sempat meninjau 262 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah tersebut menjawab soalan ujian Bahasa Inggeris Kertas 1.

Muhyiddin berkata, kejadian yang berlaku itu juga bukanlah gambaran bahawa sistem pendidikan negara tidak betul.

Bagaimanapun beliau menegaskan Kementerian Pelajaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak sekolah yang sengaja menghalang pelajar daripada menduduki peperiksaan penting.

“Kita kini sedang meneliti beberapa laporan yang diterima berhubung kes berkenaan tetapi kalau disebabkan oleh para pelajar sendiri yang tidak mahu mengambil peperiksaan, kita akan kaji.

‘‘Mungkin bukan salah guru, jadi tak perlu ambil tindakan,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 6 Oktober 2011

Tiada ulasan: