Ahad, 30 Oktober 2011

Projek pendidikan: Kementerian Pelajaran setuju turunkan kuasa

30/10/2011 7:48pm

PENAMPANG 30 Okt. – Kementerian Pelajaran bersetuju menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan pemberian kontrak projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri itu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat kewajaran untuk menurunkan kuasa itu memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang besar terutama daripada segi jumlah atau saiz sekolah.

"Sebenarnya dulu memang begitu... projek pendidikan di Sabah dan Sarawak di bawah jabatan kita yang ada di peringkat negeri tetapi beberapa tahun kebelakangan ini ia diurus pula oleh kementerian.

"Saya dapati memang ada kewajaran untuk kita turunkan balik kuasa kepada Sabah dan Sarawak.

“Satu cara ialah memberi kuasa kepada pengarah negeri untuk melihat bagaimana projek tertentu yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-26 di KDCA, dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam ucapannya agar kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor Sabah untuk memperoleh kontrak bagi program yang mendapat peruntukan kerajaan Persekutuan. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2011

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sudah Terhantuk Baru Terngadah

guru pemerhati berkata...

Zaman Mahathir, kuasa itu ditarik sebab desakan,asakan, tekanan,ugutan dan lain-lain lagi oleh orang-orang politik rakus dalam UMNO dari Semenanjung juga laporan-laporan oleh tali barut daripada pemimpin-pemimpin politik dari Sabah sendiri supaya kontrak mereka dapat dengan mudah.Disamping itu juga pegawai-pegawai dari kementerian sendiri yang mahu makan rasuah. Itulah dia..

guru sabah berkata...

Tindakan YAB tan Sri Muhyddin Yassin tepat dengan memberikan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Sabah membuat keputusan. Sepatutnya dari dulu lagi kuasa ini diberikan sesuai dengan Perjanjian 20 Perkara, kemasukan Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia.

Lihatlah apa yang berlaku dengan kuasa diberikan terus ke Kementerian Pelajaran Malaysia tanpa merujuk kepada Pengarah Pelajaran Sabah; Bangunan SMK. Bengkongan, terbangkalai, 300 buah projek komputer ,hanya 3 sahaja yang betul, sekolah-sekolah yang sangat uzur tidak diperbaiki, rumah-rumah guru tidak diselenggarakan dengan betul, bahkan banyak bangunan-bangunan sekolah yang baru tidak siap 100%.

Inilah masalahnya sebab yang dapat projek daripada Kementerian adalah dari kontraktor besar di Semenanjung, kemudian di sub oleh kontraktor dari Sabah. Jadi, kos pembikinan semakin susut disebabkan pengambilan keuntungan oleh kontraktor-kontraktor. Ada pula projek itu yang di sub berkali-kali. Macam mana projek siap kalau yang menyiapkan dan melaksanakan hanya diberi peruntukan yang kecil? Inilah ajaran Pak Belalang..