Ahad, 2 Oktober 2011

Nikmati pendidikan terbaik

leh MOHD. FAIRUZ YUSOFdan ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak memotong pulut kuning pada Majlis Jalinan Bestari Transformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan, Pekan, Pahang, semalam. Turut hadir, Adnan Yaakob (tiga, kiri). – MINGGUAN/MAHATHIR ALI

PEKAN 1 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah berjaya membangunkan sistem pendidikan yang terbaik sehingga mampu memberi peluang kepada seluruh masyarakat menimba ilmu tanpa mengira latar belakang dan taraf hidup mereka.

Menurut Perdana Menteri, pelbagai kemudahan dan prasarana disediakan bagi membolehkan pelajar sekolah mengikuti pembelajaran dengan sempurna.

Beliau memberitahu, berbanding di negara maju lain, ada segelintir golongan masyarakat tidak mampu menghantar anak ke sekolah berikutan masalah kewangan atau kemiskinan yang dihadapi mereka.

“Saya ingin memaparkan kepada dunia bahawa sistem pendidikan di Malaysia barangkali lebih baik daripada sesetengah negara maju. Ini kerana di sana orang tertentu sahaja yang ada kedudukan dan kemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Bestari Transformasi Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut Najib, di negara ini setiap insan dapat membuktikan mereka boleh dididik menjadi manusia yang berilmu, berakhlak dan berjaya.

“Inilah salah satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia bahawa sistem pendidikan memberi laluan kepada anak-anak untuk berjaya,” ujarnya.

Beliau percaya jika pelajar sekolah didedahkan dalam satu sistem yang memberi kemudahan sebaik mungkin dan dididik oleh guru serta sokongan ibu bapa, kemungkinan besar mereka boleh menjadi orang berjaya.

Utusan Malaysia Online: 2 Oktober 2011

Tiada ulasan: