Sabtu, 8 Oktober 2011

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta, dimansuhkan.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini berkata, dengan pemansuhan itu bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara kemudahan pendidikan sama ada di sekolah rendah mahupun menengah disediakan secara percuma.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar masih dikenakan bayaran yuran sebanyak RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

"Bayaran itu digunakan untuk yuran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans takaful," katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion bagi sektor pendidikan untuk tahun depan.

"Bagi peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion, ia akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh serta sekolah agama bantuan kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, menyelenggara, membeli peralatan dan membina blok tambahan.

"Daripada peruntukan tambahan RM1 bilion itu, RM500 juta adalah untuk sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada SJKC, RM100 juta kepada SJKT, RM100 juta kepada sekolah mubaligh, RM100 juta kepada sekolah agama bantuan kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga galakan untuk sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan ditetapkan kerana ia turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

"Tiga galakan itu adalah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing.

"Galakan ketiga adalah pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 8 Oktober 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MANSUH yuran 100% adlh satu kesilapan besar. MENGURANGKAN yuran adlh tindakan paling sesuai.

Lihatlah apa yg berlaku apabila yuran peperiksaan dimasnuhkan terus. Kesannya dpt dirasai oleh mereka yg terlibat dlm peperiksaan awam.

Apapun, harap k'jaan dpt memberi peruntukan kpd sek. utk kos mencetak kertas soalan ujian/pep.

jgn pulak peruntukan utk sukan dikurangkan. Peruntukkanlah kpd sekolah bajet utk sukan mengikut jumlah yuran yg dikutip selama ini.

KPM harus membenarkan bayaran:

1) Sukan sekolah
2) T-Shirt sukan
3) Sumbangan PIBG.

Jika tidak dibenarkan, kerajaan perlu hulurkan sumber kewangan kpd sekolah.