Rabu, 5 Oktober 2011

Tiada kelas intensif PMR

TUMPAT 2 Okt. - Ketika sekolah-sekolah lain di seluruh negara giat mengadakan kelas intensif untuk pelajar mereka yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Selasa ini, lain pula senarionya di negeri ini.

Di negeri ini, lebih 30,000 pelajar di 30 buah sekolah tidak dapat belajar dengan baik disebabkan kegagalan kerajaan Pas Kelantan menyediakan bekalan air bersih dan mencukupi.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila banyak kelas intensif yang sepatutnya diadakan di sekolah kepada pelajar tingkatan tiga tidak dapat dibuat kerana ketiadaan bekalan air.

Katanya, keadaan yang mendesak itu turut menyebabkan peruntukan pembelajaran dan pengajaran di beberapa buah sekolah pula terpaksa digunakan untuk membeli pam air bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

"Pelajar yang tinggal di asrama terpaksa balik ke rumah masing-masing kerana pengendali makanan tidak dapat menyediakan makanan kepada mereka," katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Warga Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta staf sokongan pelajaran Parlimen Tumpat di pekarangan PPD di sini semalam.

Masalah bekalan air yang tidak mencukupi dan kotor adalah isu yang telah lama melanda rakyat negeri ini kerana ia turut berlaku di premis kediaman dan makanan.

Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat negeri ini perlu menunggu sehingga 2027 sebelum mereka mendapat bekalan air bersih.

Hussain kesal apabila kelas intensif Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan gagal dilakukan pihak sekolah kerana ketiadaan bekalan air.

"Saya marah apabila guru besar atau pengetua kata tidak dapat buat tetapi apabila mereka memberi alasan akibat ketiadaan air, saya tidak boleh buat apa-apa.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan para guru sentiasa berusaha untuk terus melengkapkan pelajar dengan latihan dan motivasi sebelum peperiksaan tetapi semuanya terjejas kerana masalah air," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Air Kelantan Sdn. Bhd., (AKSB) atas usaha menghantar tangki air bantuan di setiap sekolah yang terjejas namun menegaskan jumlah itu tidak pernah mencukupi.

Utusan Malaysia Online: 3 Oktober 2011

Tiada ulasan: