Khamis, 6 Oktober 2011

Pengetua STF bersara


Junaidi Santano mengetip kad perakam kali terakhir sebagai Pengetua Sekolah Tun Fatimah sambil diperhatikan oleh sebahagian guru pada majlis persaraan beliau di STF, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 5 Okt. - Sekolah bukan sahaja akan terus dekat di hati malah kenangan berkaitannya akan dibawa sehingga ke akhir hayat. Itulah yang dirasai oleh Junaidi Santano yang meninggalkan 'alam persekolahan' kerana mencapai usia persaraan.

Pengetua Cemerlang Sekolah Tun Fatimah (STF) itu telah mengabdikan diri dalam bidang pendidikan selama lebih 34 tahun termasuk empat tahun di sekolah tersebut.

Selain STF, Junaidi juga pernah berkhidmat sebagai guru sandaran semasa awal pembabitannya dalam bidang pendidikan di Sekolah Datuk Bentara Luar, Batu Pahat sebelum meneruskan kerjaya sebagai penyelia petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Sulaiman, Batu Pahat.

Beliau juga pernah berkhidmat di SMK Convent Batu Pahat, SMK Bandar Kota Tinggi, SMK Tun Habab, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Batu Pahat dan SMT Kota Tinggi.

Junaidi berkata, sepanjang berkhidmat di STF pelbagai kenangan manis dilaluinya termasuk kejayaan melaksanakan pelbagai program termasuk bertaraf antarabangsa.

Beliau juga berharap agar STF kekal sebagai salah sebuah sekolah berasrama penuh yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah dalam kokurikulum.

"Bila kita sebut cemerlang, ia bermaksud keseluruhan warga kerja dan tidak terhad kepada pelajar sahaja. Selepas ini saya akan meneruskan usaha saya untuk menimba ilmu dan mengejar sebarang ilmu yang saya tertinggal sebelum ini," katanya.

Utusan Malaysia Online: 6 Oktober 2011

Tiada ulasan: