Rabu, 26 Oktober 2011

Subjek pra vokasional diperkenal di sekolah kebangsaan tahun depan

SINGAPURA 25 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan subjek pra vokasional di sekolah kebangsaan mulai tahun depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, projek perintis itu akan dimulakan di 50 buah sekolah terpilih di seluruh negara bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga.

"Subjek asas vokasional itu akan ditawarkan kepada pelajar yang berminat. Ia bagi membina minat pelajar dalam bidang vokasional di peringkat awal.

"Kalau selepas itu, mereka berminat untuk menyambung dalam bidang tersebut, mereka boleh menyambung pendidikan di sekolah-sekolah vokasional dan seterusnya sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Insinerator Tuas, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Malaysia juga boleh belajar bagaimana Singapura memperkasakan pendidikan vokasional di republik itu.

"Kita boleh pelajari daripada mereka, mungkin menerusi perbincangan di peringkat pegawai. Di Singapura, pelajar vokasional mengikuti pendidikan dalam bentuk amali sebanyak 70 peratus dan selebihnya adalah teori," katanya.

Menurutnya, guru-guru yang akan mengajar subjek tersebut terdiri daripada guru biasa yang memang mempunyai pengetahuan dan latihan asas dalam bidang vokasional.

Sebelum itu, Muhyiddin turut melawat Institut Pendidikan Teknikal dan diberi taklimat mengenai subjek dan cara pengendalian pendidikan vokasional di republik ini.

Ditanya adakah kerajaan akan memperluaskan sistem insinerator di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Sisa Pepejal yang dipengerusikan beliau dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencari dan menilai sistem pelupusan yang terbaik dan selamat bagi negara.

"Kita telah melihat Singapura melaksanakan sistem pelupusan sisa pepejal seperti insinerator dan kita akan kaji yang terbaik dan selamat untuk kita," katanya.

Mengenai hasil lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini, Muhyiddin berpuas hati dengan hasil pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin Singapura - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011

Tiada ulasan: