Rabu, 5 Oktober 2011

Mereka sendiri enggan duduki UPSR

KOTA KINABALU 4 Okt. - Laporan awal mendapati lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Sira, Baling, Kedah sebenarnya tidak dilarang daripada menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sebaliknya mereka sendiri enggan mendudukinya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hasil temu bual dengan murid terlibat juga mendapati mereka membuat pengakuan bahawa guru tidak pernah menghalang mereka menduduki peperiksaan itu.

Malah, menurut beliau, guru besar selalu mengingatkan mereka mengenai tarikh peperiksaan itu dan ia disusuli pula dengan kehadiran guru ke rumah mereka untuk memaklumkan mengenai perkara sama.

“Siasatan awal mendapati guru ini bukannya ke rumah murid terbabit untuk menghalang mereka menduduki peperiksaan ini. Bagaimanapun siasatan terperinci masih lagi berjalan dan ia belum siap sepenuhnya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya yang terbakar malam Khamis lalu dan menyerahkan waran segera bantuan khas malapetaka sebanyak RM20,000 bagi memperbaiki pendawaian elektrik yang rosak.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah, Maimunah Suhaibul.

Baru-baru ini, lima murid sekolah itu, Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi, Mohd. Zulhilmi Abd. Mizan, Mohd. Hakim Hasan dan Mohd. Zulidham Yusof dikatakan dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.

Kesemua murid itu juga mendakwa ada guru sekolah datang ke rumah supaya mereka tidak datang mengambil peperiksaan, sedangkan apabila pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) membuat siasatan, guru pula menyalahkan murid kononnya mereka enggan datang mengambil peperiksaan.

Ditanya mengenai status siasatan kementerian terhadap pentadbiran SK Bandar Bintangor yang menghalang tiga muridnya daripada menduduki UPSR, Mohd. Puad berkata, keputusannya akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 5 Oktober 2011

1 ulasan:

Guru Borneo berkata...

tembelang sudah pecah!