Ahad, 9 Oktober 2011

Selaras bayaran elak penetapan yuran sesuka hati

Oleh Norakmah Mat Youb dan Nasuha Badrul Huzaini

2011/10/09

KUALA LUMPUR: Kadar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) yang kini berbeza mengikut sekolah perlu diselaraskan di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian menaikkan bayaran sesuka hati berikutan pemansuhan yuran persekolahan mulai tahun depan.

Sehubungan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan, mahu satu garis panduan berhubung kadar yuran diwujudkan bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan sekali gus membebankan keluarga berpendapatan rendah.
Yuran PIBG dikutip bagi membantu kelancaran projek tambahan yang dijalankan pihak sekolah. Jadi, ia tidak seharusnya membebankan ibu bapa. Saya cadangkan jumlah itu tidak melebihi RM50 bagi sekolah rendah dan RM100 untuk sekolah menengah.
Bagaimanapun, sekiranya ada keluarga yang tidak mampu, mereka boleh membayarnya mengikut kemampuan tanpa ada paksaan. Kerajaan sendiri cuba mengurangkan bebanan mereka, jadi PIBG juga sepatutnya memahami, katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Ali berkata, selain itu, pihaknya mencadangkan lebih banyak syarikat korporat dan persendirian menyumbang kepada PIBG dan tidak hanya menumpukan sumbangan ibu bapa kerana mereka boleh mendapat pengecualian cukai bagi tanggungjawab sosial.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata kementerian masih menimbang mekanisma bersesuaian untuk memberikan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Kita masih belum memutuskan sama ada duit itu akan diberikan ketika sesi sekolah tamat hujung tahun atau ketika penggal persekolahan bermula. Pastinya bantuan berkenaan untuk meringankan bebanan rakyat di negara ini, katanya.
Beliau berkata, dengan pemansuhan yuran sekolah dan bantuan RM100 kepada setiap pelajar, ia dapat mengurangkan kadar keciciran sekolah dan tiada alasan lagi sekiranya ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 mengumumkan pemansuhan yuran sekolah dan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Pemansuhan itu membabitkan yuran tahunan kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful bagi pelajar sekolah rendah iaitu RM24.50 dan sekolah menengah RM33.50.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemansuhan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Berita Harian Online: 9 Oktober 2011

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YURAN DAH MANSUH.....DPT PULA SORANg RM 100. Bayar jelah bayaran-bayaran tambahan tu. Tak kanlah semuanya nak free.

HP/ASTRO bayar tiap-tiap bulan. Tak merungut pun. Utk pendidikan anak2, berkira sangat bangsa kita.

Bagi yg benar-benar miskin, barulah boleh free....

orang susah berkata...

Yuran sudah mansuh mau buat kutipan melalui PIBG??? Ini melawan belanjawan PM. Kalau PM dah hapuskan yuran tak payahlah minta dari PIBG, ceritanya sama juga membebankan rakyat.

Minta dari UMNO, PBS, PKR, MCA, MIC,dan mana-manalah parti di Malaysia

Tanpa Nama berkata...

Inilah rupa bangsaku..... yg mampu pun sibuk nak free...