KUALA LUMPUR 19 Julai – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sedia ada wajar dirombak kepada sistem yang lebih berkesan dan dapat menilai pelajar secara lebih menyeluruh.
Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, sistem berorientasikan peperiksaan seperti UPSR telah menyebabkan murid-murid lebih gemar untuk menghafal sekali gus tidak dapat mendidik mereka untuk memahami sesuatu mata pelajaran secara lebih mendalam.
Justeru, kata beliau, GPMS bersetuju dengan usaha memungkinkan sistem pendidikan negara dirombak untuk mencapai maksud yang lebih sesuai dengan ‘masa dan keadaan’.
Menurutnya, langkah itu juga bagi membolehkan murid-murid bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai latar ko-kurikulum baik, kekuatan emosi, jati diri dan sahsiah yang berkualiti.
‘‘Hakikatnya, peperiksaan UPSR sendiri sudah berusia hampir 30 tahun dan memang wajar ia diberi nilaian semula oleh kerajaan dan proses penambahbaikan kepada sistem sedia ada tidak perlu dianggap sebagai usaha yang menyusahkan mana-mana pihak,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Katanya lagi, pihaknya yakin Kementerian Pelajaran telah pun mengambil maklum dan melaksanakan tindakan awal dengan keperluan rombakan dan penyesuaian semula UPSR.
Beliau menambah, sememangnya wajar keperluan sistem nilaian pendidikan yang lebih holistik diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan