SERI KEMBANGAN: Jawatankuasa Kurikulum Pusat, Kementerian Pelajaran meluluskan konsep transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah untuk dilaksanakan secara berperingkat di prasekolah dan sekolah rendah mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (gambar), berkata kurikulum berkenaan berasaskan enam tunjang sebagai komposisi iaitu komunikasi, literasi sains dan teknologi serta fizikal dan estetika.
“Selain itu, kurikulum ini juga menerapkan nilai, sikap, kerohanian, kemanusiaan dan ketrampilan diri di kalangan murid prasekolah dan sekolah rendah,” katanya selepas merasmikan persidangan tahunan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) kali ke-47 di sini, semalam.
Menurutnya, KPM sentiasa memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan sama untuk cemerlang.
“Semua murid mendapat peluang sama rata dengan merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap sosio ekonomi dan tahap keupayaan pelajar,” katanya.
Mohd Puad berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memperbaiki tahap pencapaian di Sekolah Prestasi Rendah seluruh negara antaranya dengan membekalkan air bersih dan tenaga elektrik yang mencukupi.
“Selain bekalan air dan elektrik, murid juga diberikan pelbagai kemudahan lain antaranya makmal komputer, asrama, bantuan makanan tambahan serta projek susu sekolah,” katanya.
Selain kemudahan seumpama itu, Mohd Puad berkata, dalam konteks yang lebih luas KPM melihat untuk memberikan penilaian dan pendedahan lebih holistik.
“Sehubungan itu, agenda pendidikan tidak terhad setakat penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) saja, sebaliknya merangkumi daya fikir, sahsiah dan nilai patriotisme tinggi,” katanya.
Menurutnya, seiring dengan transformasi itu, Pentaksiran Standard Prestasi akan diwujudkan bagi menilai kualiti hasil pembelajaran.
myMetro: 10 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan