Selasa, 21 Julai 2009

PPD Pasir Puteh sasar 693 murid dapat 5A

Oleh Rosdi Ismail
rosdi@bharian.com.my


ROSIDI (kanan), Nik Aziz dan Kamariah menyatakan sesuatu kepada peserta Seminar Skor A UPSR di SMK Seri Aman, Pasir Puteh, Sabtu lalu.

PEJABAT Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, Kelantan menyifatkan penganjuran Seminar Skor A UPSR sebagai pelengkap kem kecemerlangan dilaksanakannya bagi memantapkan persediaan murid menduduki peperiksaan.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Kurikulum) Pasir Puteh, Rosidi Ramli, berkata seminar anjuran Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) menerusi Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian itu bukan saja berguna, malah menjadi input terkini kem berkenaan.

Beliau menjelaskan, menerusi kem kecemerlangan anjuran pejabat berkenaan, program intensif diberi perhatian bagi membimbing calon menjawab soalan dengan berkesan, terutama bagi subjek Bahasa Melayu (Penulisan), Sains dan Bahasa Inggeris.

“Seminar ini juga mendedahkan murid cara menjawab soalan yang betul dan berkesan di bawah bimbingan guru pakar dan berpengalaman, selaras dengan matlamat kem kami anjurkan.

“Ini sesuatu yang amat berfaedah dan berguna. Diharap peserta seminar ini memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman dilalui bagi meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Seminar Skor A UPSR untuk anak anggota Bank Rakyat dan ahli koperasi sekolah seluruh Kelantan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman, Pasir Puteh, Sabtu lalu.

Seminar dihadiri 250 calon UPSR itu dirasmikan Penolong Pengurus Bank Rakyat cawangan Machang, Nik Aziz Hussain. Hadir sama Penolong Pengarang Pendidikan Berita Harian, Mohamad Muda dan Pengetua SMK Seri Aman, Kamariah Mamat.

Rosidi juga berharap penganjuran seminar itu membantu pihaknya mencapai sasaran 693 calon dari 39 sekolah rendah di Pasir Puteh merangkul 5A tahun ini.

“Pihak kami mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak lain untuk meningkatkan prestasi pendidikan di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Nik Aziz dalam ucapannya berkata, seminar itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial bank berkenaan bagi membantu anak-anak anggota cemerlang dalam bidang pendidikan.

Berita Harian Online: 21 Julai 2009

Tiada ulasan: