Jumaat, 31 Julai 2009

Pangkat guru besar, pengetua berdasar KPI

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my




Kenaikan ambil kira prestasi sekolah, bukan faktor kekananan

KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat pengetua dan guru besar di sekolah seluruh negara pada masa depan tidak akan lagi tertakluk kepada faktor kekananan, sebaliknya berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata KPI berkenaan kini dalam proses pemurnian dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

"Apabila inisiatif terbabit dilaksanakan nanti, sebarang kenaikan pangkat untuk pengetua dan guru besar akan dibuat berdasarkan pencapaian KPI mereka, tidak lagi bersandarkan faktor kekananan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membabitkan enam teras, iaitu mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan Ba'iah baru kepada semua pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Alimuddin berkata, antara elemen utama dalam KPI pada peringkat sekolah rendah ialah semua murid normal yang bersekolah dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki Tahun Empat, sasaran 100 peratus murid celik huruf serta kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

"Pada peringkat sekolah menengah pula, KPI akan menumpukan perhatian antara lain kepada bidang kebitaraan (nitch area) masing-masing serta kejayaan yang dicapai, termasuk pada peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, ketika dihubungi pula berkata, pihaknya menyokong penuh enam NKRA berkenaan yang disifatkan sebagai langkah bijak serta tepat pada masanya.

"Berkaitan pendidikan, GMGBM amat bersetuju dan bersedia memikul tanggungjawab. Mengenai ganjaran berasaskan pencapaian sekolah, ia adalah satu insentif dan pengiktirafan daripada kerajaan.

"Cuma, disarankan biarlah pelaksanaan itu telus, akses terbuka serta memberi peluang sama rata kepada majoriti guru besar dan pengetua," katanya.

Berita Harian Online: 31 Julai 2009

Tiada ulasan: