Jumaat, 10 Julai 2009

Minda Pengarang: Sokong tambah guru pakar tingkat bahasa Inggeris

SALAH satu kelemahan ketara dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selama enam tahun pelaksanaan ialah kekurangan guru mahir berbahasa Inggeris. Malah, ada guru dikatakan terpaksa membuat penjelasan dalam bahasa Malaysia ketika mengajar, kerana guru itu sendiri kurang memahami bahasa Inggeris dan murid pula tidak memahami bahasa asing itu, terutama pelajar luar bandar yang tidak menuturkan bahasa Inggeris di luar sekolah. Keadaan menjadi kekok sehingga ada pihak mendakwa dasar PPSMI sepatutnya dilaksanakan apabila segala kemudahan dipersiapkan terutama untuk melatih lebih banyak guru yang fasih berbahasa Inggeris. Namun, tempoh enam tahun pelaksanaan PPSMI yang akan dimansuhkan tiga tahun lagi, adalah terlalu singkat sebenarnya untuk mengukur kejayaan atau kegagalan PPSMI. Tetapi berdasarkan kajian oleh universiti tempatan dan badan antarabangsa, PPSMI tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Sebab itu, apabila Kabinet kelmarin memutus untuk memansuhkan PPSMI, ia memberi penekanan kepada usaha memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Berdasarkan reaksi pelbagai pihak, majoriti menyokong langkah kerajaan untuk memantapkan penggunaan bahasa asing itu. Antaranya ialah menambah seramai 13,933 guru bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Malah, keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik dalam BI. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai; pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI serta menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris. Semua ini dilakukan dalam usaha kerajaan untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. Memandangkan penekanan diberi kepada BI selepas PPSMI dimansuhkan, mungkin sudah tiba masanya pula bagi kerajaan mewajibkan lulus subjek bahasa Inggeris pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggambarkan kerajaan amat prihatin mengenai pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik untuk menentukan kita boleh bersaing dalam era globalisasi. Langkah ini juga mungkin boleh meredakan emosi golongan yang tidak menyokong pemansuhan PPSMI. Jika ada keperluan, tidak mustahil nanti kita boleh menubuhkan kolej khas bertaraf universiti untuk melatih guru khas bahasa sama ada bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, bahasa Perancis, Mandarin, Jepun, bahasa Indonesia dan bahasa lain di dunia ini, yang mungkin akan turut menarik minat pelajar dari serata dunia. Pelbagai cabang jurusan bahasa boleh diwujudkan seperti pengkhususan dalam bahasa Malaysia untuk sains merangkumi semua subjek Sains termasuk Matematik, bahasa teknologi maklumat (IT) dan sebagainya. Malah universiti bahasa ini juga boleh dibuka untuk pelajar diploma penterjemahan. Dengan itu, Malaysia boleh dijadikan pusat pendidikan atau hab bagi mengeluarkan guru pakar bahasa.

Berita Harian Online: 10 Julai 2009

Tiada ulasan: