KUALA LUMPUR 15 Julai - Pelbagai pihak hari ini menyambut baik keputusan kerajaan untuk menimbang kemungkinan membenarkan semula guru-guru aktif berpolitik.
Persetujuan itu bagaimanapun disertakan syarat iaitu para guru perlu tahu membezakan antara tugasan politik dengan tanggungjawab mendidik anak-anak di sekolah.
Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berpendapat, tiada salahnya para guru dibenarkan aktif berpolitik kerana profesion perguruan sememangnya sinonim dengan gerakan nasionalisme sejak dahulu lagi.
Menurutnya, kebolehan guru selaku golongan terpelajar untuk membezakan perkara baik dan buruk seharusnya memberi kelebihan untuk mereka terbabit di dalam kancah politik negara.
"Tiada salahnya guru aktif dalam politik. Cuma mereka perlu berusaha menjadi profesional tulen yang tahu memisahkan antara tugas politik dengan perguruan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi kelmarin bahawa kerajaan sedang menimbang untuk membenarkan guru-guru kumpulan A kembali aktif dalam politik termasuk memegang jawatan.
Pembabitan itu bagaimanapun dihadkan kepada kumpulan berjawatan DG41 sahaja dan tanpa melibatkan guru besar dan pengetua.
Mengenai larangan pembabitan guru besar dan pengetua, Abdul Rahman berkata, langkah itu mungkin diambil bagi mewujudkan keseimbangan terhadap tugasan guru-guru yang aktif berpolitik.
"Mungkin kerana tanggungjawab mereka berat. Para pengetua dan guru besar perlu memantau anak-anak buah masing-masing agar tahu membahagikan tugas antara politik dan mengajar," jelasnya.
Pandangan Abdul Rahman turut dipersetujui Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan.
Beliau berkata, ilmu serta pengetahuan guru-guru adalah satu pembaziran sekiranya mereka tidak diberi ruang politik untuk membangunkan negara.
Katanya, sebagai warganegara, mereka juga mempunyai hak untuk terlibat secara aktif dalam politik sama seperti orang lain.
"Mereka ada kepakaran, kemahiran dan profesionalisme yang membuatkan mereka bernilai. Hak asasi mereka selaku rakyat Malaysia untuk terlibat dalam politik juga perlu diberi perhatian," tegasnya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Beliau bimbang akan ada guru-guru mengeksploitasi murid-murid sekolah demi kepentingan politik masing-masing.
Tambahnya, tidak mustahil juga terdapat guru-guru yang tidak bertegur sapa atau kurang bekerjasama hanya disebabkan ideologi sempit politik masing-masing.
"Justeru, adalah lebih elok guru-guru hanya mengambil tahu hal politik daripada terlibat aktif," kata Hashim.
Utusan Malaysia Online: 16 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan