Rabu, 29 Julai 2009

Sayangi sekolah: Strategi kejayaan

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris (dua dari kanan) melancarkan buku You Should Read This: From Teens To Teens di SMKBB Sungai Buloh, baru-baru ini.

SMKBB Sungai Buloh amal konsep pemasaran latih pelajar berdikari, capai kecemerlangan

MENERAPKAN konsep pemasaran bagi membangunkan keupayaan pelajar pelbagai latar belakang menjadi strategi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh (SMKBB Sungai Buloh), Selangor.

Menerusi strategi itu, pelajar dianggap sebagai pelanggan manakala guru pula digalak melaksanakan pendekatan terkini dan bersesuaian bagi memenangi hati pelanggan mereka.

Pengetuanya, Abdul Hakim Kassim, berkata guru juga berperanan meyakinkan pelajar bahawa pengetahuan dan kemahiran diberikan menerusi setiap mata pelajaran serta kegiatan kokurikulum penting sebagai bekalan menghadapi cabaran hidup kini dan akan datang.

“Sebagai sekolah harian, kepelbagaian latar belakang pelajar memberi cabaran tersendiri dan tidak dinafikan 70 peratus daripada mereka memerlukan bimbingan khusus dalam mencapai kecemerlangan menyeluruh.

“Bagi melaksanakan usaha murni ini, guru disaran menerapkan konsep pemasaran iaitu menganggap pelajar sebagai pelanggan. Oleh itu, guru perlu bijak merangka strategi bagi meyakinkan pelanggan mereka supaya menerima sepenuhnya ilmu dan kemahiran diberikan.

“Pelaksanaan strategi ini berjaya memperbaiki pencapaian akademik dan kokurikulum hingga sekolah ini dinaikkan taraf daripada gred B ke gred A pada 1998. Prestasi itu terus diperkukuh dengan kerjasama dan komitmen pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru,” katanya.

Abdul Hakim memberi contoh, langkah panitia bahasa Inggeris mempelbagaikan pendekatan berjaya menyuntik minat pelajar menguasai bahasa kedua itu, termasuk menerbitkan buku kompilasi karangan pendek 33 pelajar Tingkatan Lima bertajuk ‘You Should Read This: From Teens To Teens’ yang dilancarkan baru-baru ini.

Katanya, pelajar diberi kepercayaan mengusahakan sendiri projek penerbitan buku itu selama enam bulan, mulai Januari lalu membabitkan proses menyenarai pendek 990 karangan kepada 42, penyuntingan serta penganjuran program pelancaran.

“Semua karangan itu adalah tugasan diberikan guru, Shantini Keralasingam kepada setiap pelajar Tingkatan Lima Arif iaitu menghasilkan 30 karangan menggunakan bahasa Inggeris bertema kehidupan, pengalaman dan luahan hati mereka, pada cuti akhir tahun lalu.

“Bagi mengelakkan hasil penulisan terbiar begitu saja, guru berkenaan mencadangkan mereka menerbit dan memasarkannya supaya dapat dijadikan bahan bacaan umum khususnya remaja.

“Projek ini berjaya menyuntik semangat pelajar terbabit terus berusaha menguasai bahasa Inggeris sebagai persediaan menghadapi pengajian tinggi yang lebih mencabar,” katanya.

Menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum juga, katanya, menjadi strategi bagi menanam sikap kecintaan mereka terhadap ilmu dan kemahiran di sekolah.

Justeru, pilihan kegiatan kokurikulum dipelbagaikan merangkumi lapan badan beruniform/waja diri, lapan persatuan akademik/kurikulum, 12 persatuan akademik kemanusiaan dan 11 kelab permainan.

“Antara kegiatan menarik perhatian pelajar ialah kadet polis, kadet remaja sekolah, silat, Persatuan Kemahiran Hidup, Persatuan Seni Kreatif, Kelab Kebudayaan, Kelab Pencinta Alam, Kelab Multimedia, bola sepak, hoki dan bola baling,” katanya.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

Tiada ulasan: