MERSING: Pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mersing ke atas kantin dua sekolah yang menyebabkan 44 murid dan seorang guru keracunan makanan pada Rabu lalu, mendapati kedua-dua kantin berkenaan mempunyai tahap kebersihan kurang memuaskan.
Pegawai Kesihatan Kanannya, Dr Mohtar Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati masih banyak yang perlu dipertingkatkan terutamanya membabitkan aspek kebersihan persekitaran dan pengendalian makanan oleh pengusahanya.
“Kami turut mengambil beberapa sampel makanan dan memeriksa pengendali kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Mersing dan SK Kem Iskandar untuk ujian lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.
Dalam kejadian Rabu lalu, 27 murid dan seorang guru lelaki berusia 29 tahun dari SK Sri Mersing dikejarkan ke Hospital Mersing dengan sebuah ambulans dan beberapa kenderaan guru sekolah berkenaan selepas mereka mengadu sakit perut dan muntah.
Difahamkan, 12 murid lelaki, 15 murid perempuan dari Tahun Lima dan guru sekolah itu kemudian dihantar ke hospital selepas dipercayai memakan nasi lemak dan nasi ayam yang dijual di kantin sekolah selepas mereka yang menjamu selera ketika rehat pada sebelah pagi, berasa sakit perut dan muntah.
Dalam kejadian kedua pada Khamis lalu, 17 murid SK Kem Iskandar dihantar ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan selepas dipercayai keracunan makanan akibat makan nasi lemak dan mi yang dijual di kantin sekolah itu.
Bagaimanapun, semua murid dibenarkan pulang selepas diberi rawatan sebagai pesakit luar.
Dr Mohtar berkata, pihaknya akan memantau kedua-dua kantin terbabit termasuk melakukan lawatan mengejut dengan lebih kerap bagi memastikan kejadian keracunan membabitkan pelajar sekolah itu tidak berulang.
myMetro: 19 Julai 2009
Ahad, 19 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan