JERANTUT 14 Julai - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah tidak dapat menahan kesedihan ketika bertitah merasmikan sambutan Jubli Perak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKA TAHAP) di sini hari ini.
Baginda kelihatan sebak sebaik saja bertitah mengenai nama sekolah berkenaan yang diambil sempena nama Almarhum isteri baginda, Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad yang mangkat pada 1988.
"Sekolah ini menggamit seribu kenangan buat saya kerana namanya mengambil nama sempena Almarhum Tengku Ampuan Afzan, isteri saya yang dikasihi.
"Malah, saya pernah ke sini beberapa tahun lalu dan kenangannya masih tersimpan dalam memori saya," titah baginda ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Perak SMKA TAHAP di sini.
Baginda kemudian berhenti seketika dan mendiamkan diri sambil menundukkan kepala sebelum kedengaran esakan kecil disusuli linangan air mata di tubir mata baginda.
Keadaan itu berlarutan kira-kira seminit menyebabkan hadirin turut hiba memahami kerinduan baginda kepada Almarhum isterinya itu.
Sebaik sahaja perasaannya dapat dikawal, Sultan Pahang bertitah bahawa baginda pernah datang ke sekolah itu beberapa tahun lalu dan kenangan lawatan itu masih tersimpan kukuh dalam memori baginda.
Baginda sekali lagi sebak dan menitiskan air mata ketika bercerita mengenai pencapaian sekolah itu sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya.
"Dalam 25 tahun penubuhan sekolah ini, banyak perubahan yang berlaku di mana warga sekolah menikmati pelbagai kemudahan prasarana untuk kemajuan pendidikan dan penambahbaikan bangunan sekolah untuk keselesaan dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar," titah baginda sambil mengeluarkan sapu tangan dan mengesat air matanya.
Di sebalik kesedihan itu, Sultan Ahmad Shah berbangga dengan pencapaian SMKA TAHAP dalam bidang akademik dan kokurikulum.
"Sesungguhnya saya sukacita dan berbangga di atas pencapaian sekolah ini sehingga mampu menjadi sebuah sekolah terbaik di Pahang dan ia tergambar melalui kejayaan pelajarnya dalam akademik dan kokurikulum," titah baginda.
Baginda meminta guru dan pelajar memanfaatkan segala kemudahan di SMKA TAHAP yang terpilih sebagai perintis sekolah bestari di Pahang.
Pada majlis itu, baginda mengumumkan sumbangan peribadi berjumlah RM50,000 kepada tabung sekolah berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri; Datuk Mohamad Sahfri Abdul Aziz dan Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.
Utusan Malaysia Online: 15 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan