|
|
BANGUN seawal pukul 4 pagi merupakan sesuatu yang biasa bagi Mohamad Hakim Hakimi, 13. Tetapi mengapa pelajar tingkatan satu ini perlu bangun begitu awal sedangkan sekolah sesi pagi hanya bermula jam 7.15 pagi?
Sebabnya, Mohamad Hakim perlu berada di perhentian kereta api Bukit Abu, Kuala Krai sebelum pukul 6 pagi untuk ke sekolah di Dabong, yang jaraknya 40 kilometer (km) dari situ.
Ketika rakan sebayanya yang tinggal di bandar masih diulit mimpi, pelajar Sekolah Menengah Dabong, Kelantan itu, bersama rakan-rakan yang lain terpaksa meredah gelap subuh dengan berjalan kaki antara dua hingga empat km untuk ke perhentian kereta api.
Seandainya terlewat sampai dan terlepas kereta api, maknanya mereka terpaksa ponteng sekolah pada hari itu.
Ketika sampai di perhentian itu, Mohamad Hakim dan rakan-rakannya yang lain sempat menunaikan solat Subuh. Ketika di dalam gerabak kereta api, dia sempat meneliti kerja sekolahnya.
Di sudut koc yang lain, cuaca dingin di dalam koc membuatkan ada pelajar yang sempat melelapkan mata sebelum sampai ke sekolah.
Hampir sejam kemudian, kereta api berhenti di stesen Dabong dan lebih 200 pelajar sekolah turun untuk ke sekolah-sekolah berhampiran.
Mungkin sukar untuk kita bayangkan pengorbanan pelajar sekolah yang tinggal di pedalaman Kelantan itu. Namun, bagi mereka itulah kehidupan sebenar yang dilalui sejak sekian lama.
Mereka tinggal di Kuala Bukit Abu, Temangan, Ulu Temiang dan Kampung Baru Sungai Mengkuang yang meniti alam persekolahan dengan penuh kepayahan dan ketabahan.
Kereta api merket
Kereta api dianggap sebagai nadi pengangkutan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Ia bukan sahaja untuk ke sekolah tetapi untuk keluar ke bandar terdekat seperti Kuala Krai dan Pasir Mas.
Faktor kelembapan kereta api bukan menjadi masalah bagi mereka kerana inilah satu-satunya pengangkutan yang mereka ada. Setiap hari gerabak atau koc kereta api akan penuh dengan penumpang termasuk pelajar sekolah.
Kereta api yang datang dari Tumpat seawal pukul 3 pagi itu seakan-akan tidak jemu membawa pelajar terbabit pada setiap hari dan kini kereta api yang dulunya dikenali sebagai kereta api merket (kereta api pasar) diberi nafas baru oleh pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menyelami kepayahan pelajar kerana kereta api sebelum ini tidak dilengkapi penghawa dingin dan tidak mempunyai sistem cahaya yang cerah di dalam koc, KTMB mengorak langkah menaik taraf kereta api sedia ada.
Idea untuk melengkapkan kereta api atau tren dengan penghawa dingin dan lampu yang mencukupi itu dicetuskan oleh Pengarah Urusan KTMB, Datuk Abdul Radzak Abdul Malek. Beliau mahu pelajar di pedalaman berada dalam keadaan selesa ketika menaikinya.
Naik taraf
"Pelajar sebelum ini terpaksa berpanas apatah lagi terpaksa berasak dengan para peniaga atau tok peraih.
"Saya telah mengarahkan supaya kereta api pasar ini dinaik taraf dan juga diwujudkan tren shuttle yang khusus bagi membawa pelajar pergi dan balik dari sekolah dengan selesa," kata Abdul Radzak ketika ditemui.
"Sebelum ini pelajar pulang dari sekolah dengan menaiki tren lain pada pukul 3.10 petang tetapi perkhidmatan tren terbaru itu akan bertolak dari Dabong pada pukul 2.10 petang iaitu awal kira-kira sejam masa menunggu berbanding sebelum ini," kata Abdul Radzak.
Mohamad Hakim merupakan antara pelajar yang begitu gembira apabila kereta api sedia ada itu dinaik taraf. Mereka tidak lagi mengeluh merasai bahang panas sepanjang perjalanan dan juga kini dia boleh menelaah pelajaran dalam keadaan selesa.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Dabong, Hazama Ismail berkata, pelajar sekarang boleh dikatakan beruntung kerana banyak kemudahan diberikan terutama kepada pelajar luar bandar seperti Dabong berbanding zaman persekolahannya dahulu.
Hazama yang yang berasal dari daerah Dabong berkata, beliau amat bersyukur dengan pengenalan tren baru oleh KTMB yang merupakan pengangkutan utama pelajar di pedalaman.
"Langkah ini patut dipuji kerana ia membantu pelajar pulang dari sekolah lebih awal. Lebih menggembirakan, pelajar tidak perlu lagi bersesak dengan tok peraih yang sememangnya menggunakan kereta api," katanya. - Bernama
Kosmo Online: 23 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan